Ekonomi Madani: Rakyat jadi penonton, keluarga jadi pelakon

May 27, 2025 · Politik · Sumber:

Malaysia Madani — sebuah slogan yang indah dan gah; naratif baharu yang dicanang akan membawa ekonomi negara ke puncak keadilan, kesejahteraan, dan nilai bersama.

Namun setelah bertahun melaungkan reformasi, kita akhirnya ditayangkan dengan 1001 janji yang tidak ditunaikan, formula yang tidak menjadi, malah tanpa segan silu meneruskan budaya politik lama yang ditentang selama ini.

Madani: Janji manis, realiti pahit.

Setiap minggu, pasti ada pengumuman bahawa ekonomi kita “kukuh”, “stabil”, dan “berdaya tahan”; kecuali apabila tiba waktu untuk membayar harga makanan, membeli barang dapur, bayar bil, bayar tol – rakyat merasakan sebaliknya.

Ketika itu, dompet rakyatlah yang menjadi saksi, betapa ekonomi rakyat sebenarnya semakin tidak berdaya tahan, malah lebih rapuh daripada sistem subsidi yang dikatakan “perlu distrukturkan semula”, yang sehingga kini masih samar dan menimbulkan persoalan.

Madani: Siapa yang diutamakan?

Ironinya, dalam ekonomi Madani, subsidi untuk rakyat dipanggil “beban fiskal”, tetapi insentif kepada pihak korporat digelar “galakan pelaburan”.

Jika rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup, mereka diajar untuk berjimat, tetapi jika syarikat besar rugi berbilion, Ekonomi Madani masih teruskan amalan ‘bailout’ atas nama “pelaburan strategik” untuk menyelamatkan industri penting negara.

Madani: Kapitalisme berwajah ihsan?

Ternyata dalam era Madani, yang paling kreatif bukan yang bijak mencipta produk, tetapi yang paling pandai mencipta hubungan; kroni mahupun keluarga.

Malah nilai yang paling banyak diungkapkan ialah ‘nilai kontrak’. Projek besar, tender berjuta dan konsesi puluhan tahun diagih kepada mereka yang dekat dengan koridor kuasa.

Lebih malang, Ekonomi Madani boleh bersekongkol dengan pelaburan asing (BatuHitam) yang secara jelas terlibat dalam jenayah perang dan genosid ke atas saudara kita di kejauhan sana. Pementasan Ekonomi Madani.

Jika ekonomi Madani adalah sebuah pementasan drama, maka rakyat adalah penontonnya.

Walaupun khusyuk tidak menyampuk di hadapan, tetapi sebenarnya rancak mengulas di belakang sesama mereka. Sementara watak pelakon utama dimainkan oleh gandingan ‘kroni-keluarga’.

Walaupun kelihatan seiring-seirama di hadapan, tetapi sebenarnya saling bertikaman di belakang, berebut kek ekonomi yang semakin kecil saiznya.

Penutup: Jangan biarkan drama ini berterusan.

Ekonomi Madani, jika benar mahu menepati nilai-nilai yang dilaung-laungkan, mesti lebih daripada sekadar pertunjukan.

Ia mesti perubahan nyata yang mengangkat ekonomi rakyat, bukan sekadar menempatkan mereka sebagai penonton drama ‘politik keluarga’ yang tidak berkesudahan.

Sudah tiba masanya rakyat beralih kepada pendekatan politik solusi dan ekonomi berkebajikan, berteraskan budaya politik matang dan sejahtera.

Pemimpin yang mengutamakan kepentingan negara, mendahulukan keperluan rakyat, adalah pilihan sebaiknya.

Rakyat bijak menilai. Jika PRU14 rakyat menghukum, PRU15 rakyat mengharap; PRU16 dijangka rakyat akan kembali menghukum.

Politik reset, bukan ‘replay’.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Perluasan cukai SST: Ikan rakyat bakal jadi ikan elit
June 20, 2025· Politik
Tarik balik subsidi gas: Rompakan terbaru Kerajaan Madani
May 29, 2025· Politik