1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menuntut agar YB Nurul Izzah Anwar tampil bersuara dan mendesak Perdana Menteri menamatkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, selaras dengan pendirian yang pernah beliau nyatakan secara tegas dalam kempen Pemilihan PKR sebelum ini.
2. Isu ini kembali menjadi perhatian selepas Azam Baki dilaporkan menerima penyambungan kontrak walaupun pernah terpalit kontroversi integriti berkaitan pemilikan saham yang mencetuskan krisis keyakinan rakyat terhadap SPRM. Ketika kempen Pemilihan PKR, baik pada 2022 mahupun yang terbaru pada 2025, Nurul Izzah secara terbuka menegaskan bahawa kepimpinan SPRM perlu dibersihkan demi memastikan reformasi institusi berjalan telus.
3. Kini setelah memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR, adalah menjadi tanggungjawab moral dan politik bagi Nurul Izzah untuk menunaikan janjinya sendiri dan membuktikan bahawa reformasi yang dilaungkan bukan sekadar retorik politik semasa berkempen. Sebagai anak kepada Perdana Menteri merangkap pemimpin kanan parti pemerintah, beliau berada pada posisi yang strategik untuk membawa suara reformasi dari dalam. Namun, kelihatan tiada sebarang reaksi mahupun pendirian jelas daripada beliau berhubung isu penyambungan kontrak Tan Sri Azam Baki setakat ini.
4. Kami ingin mengingatkan bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai. Ketelusan dalam pelantikan jawatan penting seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah lambang komitmen sebenar terhadap reformasi dan pembanterasan rasuah. Kegagalan untuk bertindak tegas hanya akan mencemarkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan slogan-slogan perubahan yang dilaungkan.
5. Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak Nurul Izzah agar menuntut Perdana Menteri untuk menamatkan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM sepertimana yang pernah beliau perjuangkan sebelum ini. Sesungguhnya konsistensi antara kata dan tindakan adalah ukuran sebenar keikhlasan perjuangan. Bukannya gelaran ‘Puteri Reformasi’ yang hanya lantang bersuara menggemakan dewan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia , Ustaz Muhammad Hanif bin Jamaluddin
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.