Perikatan Nasional (PN) memandang serius tindakan Perdana Menteri yang, dalam keadaan hampir dengan tarikh perbicaraan kes saman oleh Yusoff Rawther pada 16 Jun 2025, telah memohon kekebalan bersyarat (conditional immunity) atas kapasiti beliau sebagai Ketua Kerajaan.
Permohonan ini menimbulkan persoalan besar tentang penggunaan prinsip kekebalan yang diperuntukkan dalam Perkara 181, 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan — peruntukan yang secara khusus merujuk kepada kekebalan bersyarat Raja-Raja, bukan kepada mana-mana pemimpin politik termasuk Perdana Menteri.
PN dengan ini menggesa Peguam Negara yang merupakan penasihat undang-undang utama kepada kerajaan, serta dalam kapasitinya sebagai individu yang seharusnya bertindak menjaga kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, supaya campur tangan segera dalam isu ini, sama ada sebagai pencelah (intervenor) mahupun sahabat mahkamah (amicus curiae) dalam prosiding permohonan tersebut.
PN menegaskan adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk:
1. Meneliti kesahihan permohonan kekebalan yang dibuat oleh Perdana Menteri dari segi undang-undang dan perlembagaan;
2. Menegur dan menasihati Perdana Menteri secara rasmi sekiranya tindakan tersebut menyalahi semangat dan peruntukan Perlembagaan;
3. Mengelak duluan kehakiman (judicial precedent) berbahaya yang boleh melemahkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin politik di hadapan undang-undang.
Jika prinsip kekebalan ini disalah guna atau digunakan secara terpilih, ia bukan sahaja mencemarkan kredibiliti institusi perdana negara, tetapi membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan keseluruhannya.
PN juga menyeru agar Peguam Negara bertindak selaku Pengawal Perlembagan (Guardian of the Constitution) selaras dengan sumpah jawatannya, mempertahankan Perlembagaan dan menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa takut atau pilih kasih (without fear or favour).
PN berpandangan sekiranya Perdana Menteri merasakan saman terhadap beliau tersebut tidak berasas, beliau boleh mengikut undang-undang di peringkat awal lagi membuat permohonan untuk membatalkan (application to struck out) saman tersebut atas perbagai alasan, antaranya saman tidak mempunyai sebarang kausa tindakan yang menasabah (no reasobable cause of action), bersifat remeh temeh (frivolous and vexatious), penyalahgunaan proses mahkamah (abuse of court process), tidak mengikut prosedur yang betul (procedural non-compliance) dan seumpamanya.
Kedaulatan undang-undang adalah asas kepada demokrasi. Tiada siapa pun – hatta Perdana Menteri – yang boleh dikecualikan daripadanya.
Pengawal Perlembagaan bukan alat kuasa – dia adalah benteng terakhir rakyat dari kezaliman (The Guardian of the Constitution is not a tool of power – he is the people’s last line of defence against tyranny).
TAKIYUDDIN HASSAN
Ketua Whip
Ahli Parlimen PN
Tarikh: 29 Mei 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.