Keputusan Kerajaan Persekutuan yang semakin memperlihatkan ketidakkonsistenan serta dua standard dalam pelantikan dan penyambungan jawatan utama institusi negara semakin mencetuskan kebimbangan.
Terbaharu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang menerima sokongan padu daripada komuniti perundangan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat terbanyak, tidak diberikan penyambungan tempoh perkhidmatan walaupun ruang itu dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Ironinya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang berdepan dengan pelbagai bantahan termasuk daripada ahli Parlimen, tokoh undang-undang serta aktivis anti-rasuah, telah diberikan lanjutan perkhidmatan sebanyak tiga kali – walaupun terdapat kontroversi yang belum dijelaskan secara tuntas kepada rakyat.
Saya tidaklah mempersoalkan kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan ini sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan. Namun, saya tertanya-tanya – apakah standard yang digunakan dalam membuat pertimbangan? Apakah merit dan integriti masih menjadi asas, atau pertimbangan politik telah mengatasi segala-galanya?
Dan satu persoalan yang tidak dapat dielakkan oleh rakyat ialah: adakah keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan Tun Tengku Maimun ini dibuat kerana beliau sering mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang tidak selari dengan kehendak kerajaan?
Perlu ditegaskan, bukanlah saya bermaksud untuk mempertahankan setiap keputusan yang dibuat oleh Tun Tengku Maimun. Bahkan, terdapat beberapa keputusan beliau yang mungkin tidak selari dengan aspirasi perjuangan PAS. Namun, yang saya persoalkan di sini ialah apakah kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan dalam menentukan siapa yang dilanjutkan dan siapa yang tidak?
Jika ketegasan dan prinsip menjadi sebab ditolak, manakala kontroversi dan pertikaian menjadi alasan untuk dilanjutkan, maka kita sedang menuju ke arah keruntuhan keyakinan rakyat terhadap institusi utama negara.
Kerajaan perlu tampil memberi penjelasan secara telus kepada rakyat. Ketelusan bukan lagi pilihan – ia adalah keperluan mendesak dalam menjunjung kedaulatan undang-undang. Hentikan permainan persepsi. Tegakkan prinsip keluhuran perlembagaan dan kewibawaan institusi.
Atau teruskan sahajalah budaya sekarang, kerana walau apa cara sekalipun, anda hampir pasti tidak akan kekal menjadi kerajaan selepas PRU16.
AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Ketua Penerangan PAS Pusat
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.