Hari ini semakin ketara bercelarunya BN. Walaupun UMNO menjadi tonggak pemerintahan negara selama 60 tahun, ia masih belum cukup untuk mematangkannya.
UMNO dilihat sangat mementingkan diri dalam banyak hal berkaitan kelangsungan BN. UMNO hari ini begitu terpesona dengan DAP sehingga membiarkan sahabatnya puluhan tahun iaitu MCA & MIC begitu sahaja.
Inilah antara punca mengapa BN sukar untuk dipulihkan. Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN sendiri menghancurkan BN. UMNO benar-benar telah masuk perangkap PH DAP.
Malahan sifat tamak UMNO mengambil semua lapan jawatan menteri jelas menunjukkan betapa buruknya layanan UMNO kepada MCA & MIC.
Benar dari segi metamatiknya MCA & MIC tidak menyumbang kerusi yang banyak kepada BN. Namun jika UMNO menghargai perjuangan & persahabatan, pasti 2 parti ini dilayan dengan lebih baik.
Atas sebab itulah MIC memilih untuk bersama PN. Diharapkan MCA akan menyusul segera sebelum PRU 16 nanti. Tiada apa lagi yang perlu dipertahankan oleh MCA & MIC dalam konteks kelangsungan BN @kerana kecenderungan UMNO untuk membina jajaran baru bersama PKR & DAP semakin jelas.
Malahan jika MIC & MCA masih dalam BN, secara asasnya mereka akan bertanding di tiga kerusi parlimen sahaja iaitu Ayer Hitam & Tanjung Piai (MCA) dan Tapah (MIC) di samping mana-mana kerusi PH kalah dan mereka ‘tidak mahu’ kerusi itu.
Jadi MCA & MIC mempunyai peluang lebih baik bersama PAS@PN dalam membina kembali imej & reputasi serta kepercayaan rakyat kepada mereka.
PAS & Bersatu sudah jelas akan kerusi masing-masing dan lawan mereka di PRU 16 nanti adalah UMNO. Jika MCA bersama PN, MCA akan berpeluang bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh DAP. Jika disusun dengan baik, kerjasama strategik di antara MCA & Gerakan mampu membina satu kekuatan baru di blok masyarakat Cina.
Begitu juga dengan MIC di mana jika MIC bersama PN, MIC boleh bertanding di semua kawasan yang biasa ditandinginya ketika bersama BN dahulu.
Menariknya MIC telah membuat permohonan untuk menyertai semula PN dan diyakini permohonan itu akan disambut baik oleh kepimpinan tertinggi PN.
Dalam konteks MCA, parti ini masih ragu-ragu dan difahamkan ianya banyak berkait dengan PAS yang menjadi parti utama dalam PN.
Sebenarnya tiada apa perlu dibimbangi oleh MCA untuk bersama PN. Sejarah telah menunjukkan dengan jelas bahawa PAS adalah parti yang konsisten dalam pejuangannya. Pada asasnya PAS komited membina Malaysia yang adil, progresif dan maju selari dengan nilai-nilai Islam & sejagat.
Sekiranya MCA bimbang tentang Islam yang menjadi asas perlembangaan PAS, itu bermakna kepimpinan MCA masih terperangkap dengan kefahaman sempit dan keras yang sering digambarkan oleh UMNO terhadap PAS sejak puluhan tahun dahulu.
Paling hampir MCA pada PAS adalah ketika bersama dalam kerajaan Muafakat Nasional selama 33 bulan dahulu.
Adakah PAS mengusulkan apa-apa dasar yang bersifat menzalimi orang Cina khususnya atau bukan Islam di Malaysia amnya. Jawapannya tiada. Malahan kepimpinan PAS @ PN amat berhati-hati dan menjaga hati semua pihak dalam setiap keputusan yang di buat. Pendekatan ini bertunjangkan kepada ajaran Islam yang selari dengan nilai sejagat.
Malahan dalam kajian oleh Micheal H. Hart tentang tokoh-tokoh berpengaruh dunia, beliau mendapati Nabi Muhammad s.a.w adalah pemimpin paling berpengaruh dan dihormati dalam sejarah peradaban dunia.
Di samping itu, hari ini ramai kepimpinan parti PAS terdiri daripada kalangan professional yang berkelulusan dari dalam dan luar negara.
Gabungan golongan agamawan dan profesional dalam PAS ini memberi gambaran betapa dinamik & progresifnya PAS hari ini.
Jika PN diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara dalam PRU 16 nanti, PAS komited memastikan ahli parlimen yang benar-benar berpengetahuan dipilih untuk mengisi satu-satu jawatan menteri itu.
Jika tiada ahli parlimen yang mempunyai kriteria yang dikehendaki, maka teknokrat atau tokoh dalam bidang itu akan dilantik mengisi portfolio tersebut.
Menerusi pendekatan yang pragmatik tersebut, PAS @ PN berkeyakinan mampu menawarkan kesejahteraan hidup lebih baik buat rakyat Malaysia.
PAS yakin jika MCA & MIC serta lain-lain parti gabungan dalam PN mampu membangunkan ekonomi negara dan rakyat dengan lebih baik, menawarkan tadbir urus lebih cekap dan telus di setiap peringkat pentadbiran, membentuk sistem pendidikan lebih bersepadu yang mampu menjadi medium perpaduan kaum di negara ini dan di masa sama memastikan pendididikan mampu melonjakkan potensi diri dan kecemerlangan kerjaya anak-anak Malaysia, menawarkan perkhidmatan kesihatan lebih cekap & mesra rakyat, membangunkan cara hidup bermasyarakat yang lebih harmoni dan melonjakkan keperkasaan negara dalam aspek keselamatan & kedaulatan negara.
Jadi, ayuh MCA, MIC dan semua untuk bersama kita menyelamatkan Malaysia dari terus terjerumus ke lembah lebih buruk lagi dari hari ini. Bersama kita selamatkan Malaysia.
Dr. Haim Hilman
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.