Isham Jalil, membidas keras tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perubahan dasar kemasukan murid ke Darjah 1 pada usia enam tahun yang disifatkan sebagai tergesa-gesa dan tidak matang.
Beliau menyifatkan cara kerajaan menguruskan dasar awam ketika ini seperti “tikus membaiki labu” kerana sering berubah-ubah kenyataan selepas menerima kritikan rakyat.
Perubahan Kenyataan ‘Menambah Kekeliruan’
Isham menarik perhatian mengenai percanggahan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang pada awalnya menyatakan kemasukan tersebut adalah bersifat pilihan (optional), namun kemudiannya menyebut mengenai keperluan ujian diagnostik.
“Semalam kamu kata fleksibel, optional. Hari ini kamu kata kena ambil ujian diagnostik pula dah. Sebab apa? Sebab kamu dah bergelabah.
“Bila kamu buat ujian diagnostik ini? Budak itu baru umur lima tahun. Kamu nak suruh budak umur lima tahun ambil periksa? Apa benda kamu ni?” soal beliau dalam satu rakaman video baru-baru ini.
Kebimbangan Ibu Bapa dan Logistik Sekolah
Menurut Isham, secara psikologinya, hampir semua ibu bapa tidak mahu anak mereka ketinggalan setahun dan akan memilih untuk menghantar anak ke sekolah seawal usia enam tahun. Situasi ini menimbulkan persoalan besar mengenai kesediaan infrastruktur pendidikan negara.
“Persoalannya, kelas cukup ke? Buku cukup ke? Cikgu cukup ke? Mana ada ibu bapa yang nak mengaku anak mereka ‘slow’ atau tidak sedia lalu menangguhkan persekolahan,” katanya lagi.
Beliau juga mempertikaikan kriteria ujian diagnostik yang bakal dijalankan, sambil mempersoalkan bagaimana tahap IQ kanak-kanak seawal lima tahun dapat ditentukan secara adil melalui satu ujian singkat.
Cadangan ‘Fast Track’ Berbanding Kemasukan Awal
Sebagai alternatif, Isham mencadangkan agar kerajaan mengekalkan usia kemasukan standard pada tujuh tahun, manakala sistem ‘fast track’ atau melompat kelas hanya diberikan kepada murid yang benar-benar menunjukkan kecemerlangan akademik luar biasa setelah mereka memulakan persekolahan.
“Biar budak itu masuk umur tujuh tahun. Lepas itu siapa yang tahap pencapaian akademik dia laju daripada orang lain, biar dia fast track. Bukannya suruh budak ambil diagnostik umur lima tahun untuk tentukan siapa laju atau slow.”
Gesaan Letak Jawatan
Mengakhiri kenyataannya, Isham menegaskan bahawa pembuatan dasar awam (public policy) tidak boleh dilakukan secara semberono kerana ia melibatkan jutaan nyawa dan masa depan generasi muda.
“Ini bukan kamu buka satu institusi kecil atau syarikat kecil. Keputusan kamu melibatkan berjuta orang. Kalau buat keputusan ‘ke laut’ macam ini, ia melibatkan masalah anak-anak kecil kita.
“Kamu orang ni patut letak jawatan sajalah. Lagi kamu buat dasar macam ini, lebih menyusahkan orang sahaja,” tegasnya.