Akta Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act disebut dengan huruf ringkas URA daripada bahasa Inggeris, laksana meletakkan label ‘made in England’, sehingga barang itu disangka paling baik dan kukuh daripada negara tuan mantan penjajah kita dahulu, bahkan dirasakan lebih bermutu dan kukuh daripada barangan tempatan. Namun, kesannya yang buruk sampai sekarang dirasakan akibatnya, walaupun kita sudah merdeka yang disambut berulang kali dengan laungan suara “Merdeka” dan kibaran Jalur Gemilang sejak setengah abad.
URA ialah undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk menggalakkan pembangunan semula kawasan bandar yang usang atau terbengkalai. Akta ini bertujuan memperbaharui infrastruktur, meningkatkan ekonomi tempatan, termasuk menyediakan perumahan dan kemudahan yang lebih moden serta lestari.
Walau bagaimanapun, mereka tidak mempedulikan dari mana asal usul prinsipnya, konsep ekonomi yang mencipta acuannya, dan masa depan politik, tanpa memandang seluruh rakyat di lapangan yang majoritinya masih miskin, iaitu Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk asal dan awal.
Di sini menunjukkan arkitek ekonomi kita ialah keluaran madrasah penjajah British yang berideologikan liberal kapitalisme, yang memikirkan kemajuan dan kekayaan negara hanya berpusing dalam kalangan orang-orang kaya sahaja, padahal perkara ini dilarang oleh Allah dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
“Apa-apa sahaja harta fai’ (hasil tanpa peperangan) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota, maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, serta untuk kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar antara orang-orang kaya saja antara kamu. Apa-apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa-apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukumannya.” [Surah al-Hashr: 7]
Maksudnya, hasil yang dipungut secara damai diserahkan urusannya kepada kebijaksanaan pemerintah mengikut prinsip dan konsep ekonomi Islam yang tidak menafikan hak milik dan kebebasan individu yang tidak liberal seperti kapitalisme, bahkan tidak mengongkong seperti sosialisme dan komunisme yang ekstrem. Pada masa yang sama, Islam mewajibkan hak terhadap masyarakat supaya kekayaan tidak berpusing dan berkisar dalam kalangan orang kaya sahaja.
Golongan feudal pada zaman dahulu memonopoli tanah pertanian, sehingga memperhambakan kaum petani yang miskin dan tidak memberi mereka hak untuk memiliki tanah yang menjadi sumber harta pada zaman mereka, di samping perniagaan dan perdagangan.
Selepas Revolusi Industri, mereka masih menguasai dan memonopolinya. Pada zaman kolonialisme pula, mereka membawa ajaran yang salah ini menjadi senjata untuk menjajah dan menindas rakyat serta merompak hasil negeri yang dijajah.
British, penjajah yang paling pintar penipuannya dengan pendekatan yang lembut dan halus menggoda rakyat yang dijajah. Mereka melaksanakannya di Palestin bagi menunaikan Perisytiharan Balfour (Balfour Declaration) kepada Yahudi Zionis untuk merampas bumi Palestin, seterusnya mendirikan negara Israel yang dijanjikan dengan membuka Palestin kepada pendatang Yahudi melalui kemudahan merampas tanah secara halus dan kekerasan.
Mereka mengambil peluang daripada kemiskinan rakyat Palestin melalui strategi pembelian tanah dengan harga yang mahal dan menarik, sehingga ada kalangan rakyat yang menjual tanah kerana mengejar kekayaan segera dengan menjualnya kepada Yahudi yang sangat kaya. Ada juga yang dirampas dengan kekerasan melalui undang-undang yang zalim ataupun terus dirompak.
Apabila Yahudi Zionis mendapat tanah yang luas, negara Israel pun diisytiharkan pada tahun 1948 dan negara haram itu diperkuatkan menjadi pangkalan bagi menentang kebangkitan semula umat Islam dengan bekalan senjata sekuat-kuatnya.
Perancangan juga dilaksanakan di mana-mana tanah jajahan British, termasuk di negara ini. Malaysia dirancang untuk terus berada di bawah pengaruh mereka dengan tidak mengizinkan Melayu Islam dan Bumiputera, penduduk asal di sini berjaya menjadi negara maju dan kuat, khususnya bersama Islam. Maka, orang Melayu tetap menjadi sasaran untuk dilemahkan.
Oleh sebab itu, masyarakat majmuk disusun agar mudah diadudombakan. Melayu dan Bumiputera diletakkan di kawasan pendalaman atau dipinggirkan dalam kegiatan ekonomi yang berpusat di bandar, manakala pendatang yang dibawa dari tanah jajahan yang lain pula diletakkan di bandar. Rakyat miskin hanya layak untuk terus menjadi petani dan nelayan miskin atau pekerja sahaja.
Maka, apa yang dinamakan URA ini adalah bagi melaksanakan agenda meminggirkan Melayu dan Bumiputera dari kawasan yang boleh menjadi bandar, tempat terletaknya pusat kegiatan ekonomi yang lebih kuat.
Apa-apa yang dikatakan tidak dipaksa hanyalah kata-kata indah yang bukan kenyataan sebenar yang berlaku. Kenyataannya ialah meneruskan apa-apa yang dilaksanakan oleh penjajah British dengan wajah pembaharuan, laksana tikus membaiki labu. Hasilnya dapat dilihat berlaku di Singapura apabila Melayu dipinggirkan, kepulauan Cyprus yang bergolak, dan masyarakat asal di kepulauan Fiji yang bergelora.
Sebenarnya, cara yang keras juga telah dilakukan di kawasan setinggan yang didiami sejak lama tanpa diselesaikan hak milik penduduk di sana kerana hanya digunakan bertujuan politik sahaja sehingga beberapa generasi. Apabila tiba masanya, mereka dihalau dan rumah mereka dirobohkan dengan paksaan menggunakan undang-undang.
Adapun cara halus pula ialah melalui pengambilan dan pembelian yang dirancang atas nama pembaharuan semula bandar, tanpa peduli akan keadaan masyarakat yang masih terbelah bahagi akibat warisan penjajah dahulu yang belum diselesaikan. Inilah perancangan menghakis kuasa politik Melayu Islam yang akan diikuti dengan mengadakan kawasan-kawasan pilihan raya yang baharu selepasnya.
Malangnya, masih ramai kalangan Melayu Islam lulusan madrasah penjajah dahulu menyambung tugas penjajah bersama makhluk asing yang dibawa masuk, dan mengambil peluang daripada sikap Melayu yang paling tidak perkauman untuk dinyalakan perkaumannya secara melulu. Mereka merancang dengan halus laksana memasukkan ubat bius terhadap pesakit yang hendak dibedah.
Ramai juga kalangan Melayu dan Islam yang menjadi kayu hulu kepada mata besi kapak yang digunakan untuk menebang kayu yang hendak ditumbangkan.
Adapun URA ialah jentolak yang lebih besar bagi menumbangkan pokok yang lebih besar atas nama pembaharuan yang tidak lagi menggunakan cangkul dan kapak.
Masih ada kalangan Melayu dan Bumiputera yang berfikiran lalai seperti kaum Nabi Nuh AS yang ditenggelamkan taufan besar yang terkenal dalam sejarah manusia. Firman Allah SWT:
وَهِيَ تَجۡرِي بِهِمۡ فِي مَوۡجٖ كَٱلۡجِبَالِ وَنَادَىٰ نُوحٌ ٱبۡنَهُۥ وَكَانَ فِي مَعۡزِلٖ يَٰبُنَيَّ ٱرۡكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٤٢ قَالَ سَـَٔاوِيٓ إِلَىٰ جَبَلٖ يَعۡصِمُنِي مِنَ ٱلۡمَآءِۚ قَالَ لَا عَاصِمَ ٱلۡيَوۡمَ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِ إِلَّا مَن رَّحِمَۚ وَحَالَ بَيۡنَهُمَا ٱلۡمَوۡجُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡمُغۡرَقِينَ ٤٣
“Dan bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya, sedangkan anak itu berada di tempat yang jauh terpencil, ‘Wahai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir!’ (42) Anaknya menjawab, ‘Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku daripada air bah!’ Nuh berkata, ‘Tidak ada hari ini yang dapat melindungi daripada azab Allah selain Allah (sahaja) Yang Maha Penyayang.’ Dan gelombang menjadi penghalang antara kedua-duanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan. (43)” [Surah Hud: 42–43]
Maka, akan berlaku taufan pembangunan yang hebat dan bangunan yang tinggi atau termahal harganya yang menjadi tanda akhir zaman, sebagaimana yang disebut oleh hadis Rasulullah SAW:
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ.
“Kamu akan menyaksikan orang yang dahulunya berkaki ayam dan tidak berpakaian (terlalu miskin), tiba-tiba berbangga dengan bangunan yang tinggi dan hebat (kaya-raya yang melampau).” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 8, daripada ‘Umar bin al-Khattab]
Pembangunan mewah yang tidak mampu dibeli oleh kalangan miskin ialah antara tanda kemusnahan dunia, apabila kemajuan yang tidak adil kepada semua rakyat.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang
Bertarikh: 30 Sya‘ban 1446 / 1 Mac 2025
[Bil: 15 / 2025]
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.