Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun menjelaskan bahawa keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU dibuat mengikut proses parti yang melibatkan Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Harian PAS Pusat dan pimpinan tertinggi PAS.
Menurut beliau, sebagai ahli PAS, semua anggota parti akur terhadap keputusan yang telah diputuskan oleh kepimpinan pusat selepas melalui proses perbincangan dan penelitian.
Hasnizan berkata, hubungan PAS dan BERSATU mula terjejas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 apabila enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor yang mengambil tindakan sama.
Katanya, tindakan tersebut memberi kesan besar kepada ahli-ahli PAS, khususnya 43 Ahli Parlimen PAS ketika itu yang berasa terguris dengan perkembangan tersebut.
“Walaupun begitu, atas nasihat dan keputusan pimpinan PAS, kami bersabar dan meneruskan kerjasama seperti biasa,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu pertukaran Menteri Besar Perlis yang menurutnya melibatkan penggunaan akuan bersumpah (SD) dan penyertaan beberapa ADUN PAS.
Menurut Hasnizan, PAS mengambil tindakan terhadap ADUN yang terlibat sehingga menyebabkan mereka kehilangan keanggotaan parti dan seterusnya kedudukan sebagai wakil rakyat, namun mereka kemudiannya memohon semula untuk menjadi ahli PAS.
Beliau mempersoalkan tindakan BERSATU yang didakwa tidak mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam episod tersebut.
Selain itu, Hasnizan berkata satu lagi episod yang menimbulkan ketidakpuasan hati PAS ialah perkembangan politik di Negeri Sembilan yang menurutnya turut melibatkan usaha mendapatkan sokongan melalui SD.
Katanya, walaupun perbincangan awal dilakukan bersama antara PAS dan BERSATU, terdapat keputusan tertentu yang dibuat tanpa dibincangkan di peringkat Perikatan Nasional (PN).
“Dalam isu besar seperti ini, sepatutnya diputuskan dalam Perikatan Nasional, tetapi perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Beliau juga menyentuh krisis dalaman BERSATU yang menurutnya memberi kesan kepada PAS sebagai rakan dalam PN, termasuk pergolakan yang melibatkan beberapa pemimpin parti berkenaan.
Hasnizan berkata situasi tersebut menyebabkan imej dan kekuatan PN dilihat semakin lemah ketika pembangkang sepatutnya mengambil peluang memperkukuhkan kedudukan berdepan kerajaan.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung frasa “lebih ramai calon daripada jentera” perlu difahami sebagai bahasa kias yang merujuk kepada pengalaman sebenar PAS membantu gerak kerja pilihan raya.
Sebagai contoh, beliau mendakwa jentera PAS terpaksa mengambil alih sebahagian tugas kempen di DUN Batang Kali semasa Pilihan Raya Negeri Selangor serta memainkan peranan besar ketika Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu.
“Saya adalah saksi kepada perkara tersebut kerana terlibat secara langsung menguruskan jentera di kawasan berkenaan,” katanya.
Walaupun mengakui telah lama berkawan dengan pemimpin dan ahli BERSATU, Hasnizan menegaskan beliau tidak menganggap mereka sebagai musuh.
Namun, katanya, perbezaan ideologi politik menyebabkan PAS memilih haluan berbeza dan beliau akan terus bersama PAS bagi memastikan kemenangan parti itu di mana sahaja kerusi yang ditandingi pada masa hadapan.