Parti Pejuang menegaskan komitmen mereka untuk mengutamakan agenda penyatuan pembangkang serta mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam usaha menumbangkan kerajaan sedia ada pada pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti itu sentiasa bermesyuarat dan bermuhasabah, dengan antara ketetapan utama adalah keperluan kepada penggabungan atau penyatuan parti-parti yang mempunyai hala tuju sama.
Beliau berkata, Pejuang turut mengambil kira nasihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menekankan konsep “satu lawan satu” dalam pilihan raya bagi mengelakkan perpecahan undi pembangkang.
“Kalau ada hala tuju yang sama, matlamat yang sama, jangan berpecah. Supaya kita boleh beri alternatif mudah kepada rakyat untuk pilih kerajaan,” katanya.
Rafique bagaimanapun meluahkan rasa kecewa terhadap perkembangan semasa dalam blok pembangkang, khususnya melibatkan keputusan dua parti besar dalam Perikatan Nasional yang menurutnya telah mengambil haluan berbeza buat sementara waktu.
“Kita kecewa bila rakan-rakan dalam dua parti besar dalam Perikatan Nasional decide to part ways for the time being. Kita harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya.
Beliau turut menegur budaya serang-memerang secara terbuka dalam media sosial yang disifatkan tidak sihat untuk politik negara, termasuk pendedahan perkara dalaman parti yang sepatutnya kekal tertutup.
Menurutnya, perpecahan seperti itu hanya menguntungkan pihak lawan, bukannya rakyat mahupun pembangkang sendiri.
“Yang untung bukan rakyat, bukan pembangkang. Yang untung adalah mereka yang gagal mentadbir dan akan terus mentadbir kalau pembangkang lemah,” katanya.
Dalam masa sama, Rafique menegaskan Pejuang tidak akan bertanding dengan niat untuk memecahkan undi, sebaliknya sedang meneliti perkembangan politik semasa sebelum membuat sebarang keputusan rasmi mengenai hala tuju pilihan raya.
Pejuang, katanya, kekal konsisten menyokong usaha pembangkang di pelbagai peringkat pilihan raya termasuk PRN, PRK dan program politik di luar musim pilihan raya.
Beliau turut menekankan kepentingan mengambil pendekatan penyatuan berdasarkan contoh sejarah, termasuk kejatuhan Barisan Nasional pada PRU14 akibat gabungan pelbagai parti pembangkang ketika itu.
“Bila ada matlamat dan aspirasi yang sama, kita boleh bekerjasama. Perpecahan kecil boleh dibincangkan, tetapi matlamat utama mesti jelas,” katanya.
Rafique turut merujuk kepada peranan dan nasihat tokoh negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang menurutnya masih relevan untuk didengar oleh parti-parti politik hari ini.
Selain itu, beliau berkata Pejuang akan terus menilai kedudukan mereka dalam landskap politik pembangkang termasuk perkembangan dalam PAS dan parti-parti lain dalam blok pembangkang.
“Matlamat kita bukan sekadar masuk pilihan raya, tetapi memastikan pembangkang boleh ke Putrajaya,” katanya.