ADUN Rhu Rendang, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempersoalkan sejauh mana seseorang mampu terus bertahan sebagai Perdana Menteri dalam keadaan politik semasa, sambil menyindir terdapat perkara yang didakwa tidak dilaksanakan walaupun diperkatakan.
Beliau berkata keadaan sedemikian tidak akan berkekalan selama-lamanya dan yakin perubahan akan berlaku sekiranya PAS terus istiqamah berada di landasan perjuangan.
“Lama mana manusia nak tongkat langit nak jadi Perdana Menteri Malaysia umpamanya sekarang ini. Lama mana dengan keadaan berleluasa apa yang dibuat dan berleluasanya benda yang dia tak buat, dia cakap dia tak buat. Lama mana dia boleh bertahan,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS DUN Rhu Rendang pada malam Ahad.
Dalam ucapan sama, Ahmad Samsuri turut menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibubarkan dalam tempoh seminggu, selepas Johor selesai mengadakan pilihan raya dan Negeri Sembilan dijangka menyusul.
Menurut beliau, perkembangan itu menyebabkan seluruh jentera PAS kini berada dalam suasana menghadapi pilihan raya walaupun Parlimen masih belum dibubarkan.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri menyatakan keyakinan bahawa PAS akan menjadi pemain utama dalam politik negara apabila tiba masanya, sekiranya parti itu terus ikhlas dalam perjuangan serta berpegang teguh kepada landasan Islam.
Beliau berkata pelancaran jentera pilihan raya bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan ikrar dan tekad bersama untuk menggerakkan jentera PAS bukan sahaja di Terengganu, malah di seluruh negara.
Katanya, PAS berbeza daripada parti politik lain kerana menggabungkan tarbiah, dakwah dan siasah dalam setiap gerak kerja pilihan raya, menjadikan setiap proses sebelum, semasa dan selepas pilihan raya sebagai medan mendidik ahli serta menyampaikan dakwah.
Ahmad Samsuri turut mengingatkan supaya kempen pilihan raya tidak dibina atas fitnah dan kebencian, sebaliknya berasaskan hujah yang bernas, akhlak yang mulia, bercakap benar serta menghormati semua pihak.
Beliau berkata kekuatan PAS bukan hanya bergantung kepada bilangan ahli, tetapi lebih penting ialah ukhuwah, kesatuan hati dan semangat berkhidmat yang tidak boleh dibeli dengan wang.
Menurutnya, walaupun pihak lawan mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan jentera, PAS memiliki kekuatan tersendiri melalui perpaduan ahli serta kebergantungan kepada Allah.
Beliau turut menggesa seluruh ahli supaya tidak membiarkan perbezaan pandangan melemahkan perjuangan kerana PAS bukan sekadar mahu mempertahankan kemenangan di Terengganu, sebaliknya berhasrat memperkukuhkan pengaruh di seluruh negara.
Ahmad Samsuri berkata jentera PAS perlu terus bergerak sebaik sahaja sesuatu pilihan raya selesai tanpa menunggu pembubaran Dewan Undangan Negeri, sambil memuji Muslimat yang disifatkannya sentiasa mendahului gerak kerja ziarah dan mendekati masyarakat.
Beliau mengakhiri ucapan dengan mengajak seluruh ahli memperbanyakkan doa, memperkemaskan gerak kerja dan terus membantu kempen di mana sahaja diperlukan, sambil menyatakan keyakinan bahawa PAS akan muncul sebagai pemain utama dalam politik negara apabila tiba waktunya.