Bersatu tanding PRN Negeri Sembilan guna simbol sendiri, PAS menyimpang daripada matlamat PN

July 16, 2026 · Politik · Sumber:

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menggunakan simbol Bersatu selepas mendakwa berlaku kegagalan mencapai kata sepakat dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 12 Julai lalu ditangguhkan selepas PAS mengambil pendirian mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN.

Muhyiddin berkata, Bersatu berpandangan sebarang keputusan melibatkan dasar dan hala tuju gabungan sepatutnya dibincangkan serta dipersetujui terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN, namun sehingga kini mesyuarat berkenaan tidak dipanggil.

Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan PAS yang didakwa mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti komponen PN, selain menyifatkan beberapa keputusan dibuat secara unilateral sehingga bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.

Menurutnya lagi, kenyataan beberapa pemimpin PAS yang menggesa kemenangan BN dalam PRN Johor sebelum ini dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN serta bercanggah dengan matlamat asal PN sebagai alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata semua calon Bersatu pada PRN Negeri Sembilan akan menggunakan simbol parti, manakala Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu turut memberi mandat kepadanya untuk mempertimbangkan permohonan parti-parti lain yang ingin menggunakan simbol Bersatu.

Beliau turut mendakwa PN yang dipimpin PAS telah menyimpang daripada matlamat perjuangan asal gabungan itu, termasuk komitmen mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang pelbagai kaum, agama dan budaya.

Katanya, kenyataan beberapa pemimpin PAS kebelakangan ini telah menimbulkan keraguan, khususnya dalam kalangan anak muda, terhadap komitmen PN untuk terus mempertahankan keharmonian dan kestabilan negara.

Muhyiddin menegaskan Bersatu kekal sebagai parti yang sederhana dan progresif dengan memberi tumpuan kepada isu ekonomi, kos sara hidup, pendidikan, kesihatan serta hubungan antara kaum sebagai teras kempen parti dalam PRN Negeri Sembilan.

Mengulas dakwaan bahawa penggunaan simbol sendiri menandakan Bersatu akan meninggalkan PN, beliau menjelaskan tiada keputusan sedemikian dibuat dan Bersatu masih merupakan anggota gabungan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kedudukan Bersatu dalam PN akan dikaji semula selepas PRN Negeri Sembilan selesai, sambil menyifatkan penggunaan simbol sendiri sebagai satu “calculated risk” berdasarkan pengalaman parti dalam PRN Johor.

Muhyiddin turut mengakui kemungkinan berlaku pertembungan sesama parti dalam PN kerana Bersatu tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi, namun menegaskan keadaan itu berpunca daripada kegagalan kepimpinan gabungan mengadakan perbincangan secara menyeluruh dengan semua parti komponen.

Berita berkaitan
25 DUN BN, 11 DUN PN, puzzle lengkap benam PH di Negeri Sembilan
16 jam lalu· Politik
Di Negeri Sembilan bermula langkah PN untuk menawan Malaysia
17 jam lalu· Politik
Parti Wawasan Negara adalah hasil ijtihad Tuan Presiden PAS menuju PRU16
July 15, 2026· Politik
Lama mana Perdana Menteri boleh bertahan dengan keadaan politik hari ini?
July 13, 2026· Politik