Gelombang biru di PRN Negeri Sembilan bakal jadi permulaan tsunami politik menuju PRU16

July 18, 2026 · Politik · Sumber:

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan menjadi permulaan kepada gelombang biru yang berpotensi berkembang menjadi tsunami politik di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau berkata, keputusan pengundian di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan akan menjadi detik bersejarah dalam usaha gabungan itu mengalahkan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, kerjasama antara PN dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan menunjukkan wujudnya muafakat politik yang mampu menjadi asas kepada perubahan lebih besar di peringkat nasional.

“Pertempuran kita kali ini di Negeri Sembilan antara dua warna, gelombang biru lawan gelombang merah. Mudah bukan?” katanya ketika berucap dalam satu ceramah politik.

Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa PH telah kehilangan sokongan rakyat berdasarkan keputusan pilihan raya di Sabah dan Johor, termasuk dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Beliau berkata, situasi itu membuktikan penggunaan jentera kerajaan Persekutuan tidak semestinya mampu meyakinkan pengundi untuk terus menyokong kerajaan.

Dalam pada itu, beliau mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu kerugian RM200 juta yang dikaitkan dengan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi pertanian Indonesia, eFishery.

Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan bagaimana pelaburan bernilai besar itu boleh dibuat tanpa proses penelitian wajar atau due diligence yang mencukupi.

“Anwar Ibrahim kata dirinya Menteri Kewangan terbaik Asia. Takkan kena tipu benda macam ini di Indonesia? Dulu kamu kata Datuk Seri Najib kena scam, kini kamu sendiri kena scam,” katanya.

Beliau turut membandingkan isu pelaburan berkenaan dengan kesukaran mendapatkan pembiayaan bagi projek pertanian, termasuk penanaman padi, yang menurutnya lebih berkait rapat dengan kepentingan rakyat.

Katanya, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada sektor yang menyentuh keperluan asas rakyat, terutama ketika pesawah berdepan peningkatan kos akibat kenaikan harga diesel, baja dan ketidaktentuan geopolitik.

Wan Ahmad Fayhsal turut mengulangi kritikan terhadap Anwar kerana memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara serentak, yang menurutnya bercanggah dengan janji reformasi Pakatan Harapan sebelum ini.

Beliau juga mendakwa perbelanjaan perjalanan menteri ke luar negara perlu diteliti, terutama ketika kementerian seperti Kesihatan dan Pendidikan berdepan kekangan peruntukan.

“Bapak borek di Putrajaya, anak perintit di Negeri Sembilan,” katanya ketika mengkritik keutamaan kerajaan dalam pengurusan perbelanjaan negara.

Mengulas hala tuju politik selepas PRN Negeri Sembilan, Wan Ahmad Fayhsal berkata, keputusan pilihan raya itu boleh menjadi asas kepada kerjasama lebih kukuh antara PN dan BN.

Beliau yakin, jika muafakat tersebut dapat dikekalkan, PN berpotensi kembali menerajui Putrajaya pada PRU16.

Pada masa sama, beliau menjangkakan Anwar akan mengambil sebanyak mungkin masa sebelum membubarkan Parlimen, sambil mendakwa kerajaan boleh berdepan tempoh lebih singkat sekiranya berlaku perubahan sokongan daripada parti-parti dalam kerajaan.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyeru pengundi Negeri Sembilan, khususnya golongan muda, supaya memberikan sokongan kepada calon PN dan memastikan gelombang biru berjaya menguasai negeri itu.

Beliau berkata, kemenangan di Negeri Sembilan akan menjadi langkah awal kepada usaha PN memperluaskan pengaruhnya ke negeri-negeri lain termasuk Melaka sebelum menghadapi PRU16.

Berita berkaitan
Fadhli dakwa PH dipimpin Anwar ‘tidaklah sehebat mana’, ramal gelombang Melayu bakal merebak
July 20, 2026· Politik
UMNO wajib sokong semua calon PN, PN pula bantu calon BN di PRN Negeri Sembilan
July 20, 2026· Politik
Tak perlu bubar bila banyak negeri tak sokong PMX, PN takda masalah Zahid jadi PM
July 20, 2026· Politik
Krisis adat N9 akan jadi lebih teruk jika Aminuddin kembali jadi MB
July 20, 2026· Politik