Golongan muda bakal menjadi kuasa penentu yang mencorakkan perubahan landskap politik negara, termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, golongan berusia antara 18 hingga 40 tahun membentuk sebahagian besar daripada jumlah pengundi di negeri itu dan mempunyai pendirian politik tersendiri.
Menurutnya, golongan muda kini mempunyai akses kepada pengetahuan politik yang membolehkan mereka membuat keputusan berdasarkan kefahaman sendiri, tanpa semestinya terikat dengan pendirian politik ibu bapa.
“Orang mudalah yang akan menjadi kuasa penentu dengan izin Allah untuk menjadi perubahan dalam landskap politik negara kita,” katanya ketika berucap dalam satu program pemuda di Negeri Sembilan.
Idris berkata, perkembangan politik semasa turut menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin bimbang terhadap kemungkinan berlakunya perubahan politik.
Beliau berkata, tugas pembangkang adalah untuk mencabar dan berusaha menumbangkan kerajaan yang memerintah.
“Kami pembangkang memang kerja kami siang malam memang nak jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. Mana ada pembangkang di dunia yang sokong kerajaan?” katanya.
Mengulas perkembangan politik di selatan tanah air, Idris menyifatkan keputusan pilihan raya di Johor sebagai satu pengajaran kepada PH.
Beliau berkata, perkembangan itu berpotensi berulang di Negeri Sembilan sebelum perubahan lebih besar berlaku di peringkat Persekutuan.
“Pilihan raya ini melakar sejarah. Tunasnya di Johor, berputiknya di Negeri Sembilan, berbuahnya di Putrajaya,” katanya.
Dalam pada itu, Idris menyeru PAS dan UMNO supaya melupakan persengketaan lama serta membuka lembaran baharu demi kepentingan orang Melayu dan Islam.
Katanya, perselisihan berterusan antara kedua-dua parti hanya akan memberi keuntungan kepada pihak lain.
“Kalau kita duduk bergaduh lagi, yang kenyangnya ialah DAP,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama politik antara PAS dan UMNO perlu dilihat dalam konteks masa depan generasi akan datang dan bukan semata-mata kepentingan pemimpin yang ada pada hari ini.
“Yang kita bercakap malam ini bukan masa depan saya. Kita bercakap tentang masa depan anak kita dan cucu kita,” katanya.
Idris turut mengingatkan golongan muda supaya tidak menjauhkan diri daripada politik atas alasan politik itu kotor.
Sebaliknya, beliau berkata, kelemahan yang berlaku berpunca daripada individu yang terlibat dan bukannya politik sebagai satu sistem.
“Yang kotornya orangnya, bukannya politik,” katanya.
Beliau turut menggesa anak muda menggunakan media sosial secara strategik bagi menyampaikan mesej politik kepada pelbagai kelompok pengundi.
Katanya, kandungan politik perlu dihasilkan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil bagi mendekati kumpulan pengundi yang lebih luas.
Dalam perkembangan sama, Idris menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya menyokong gabungan yang mampu memberikan kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat.
Beliau turut menyeru penyokong supaya menyebarkan maklumat kempen bagi menyokong calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.