1. Pertama sekali, tidak ada keperluan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran Pakatan Harapan(PH) untuk mengadakan dan memaksakan Memorandum Persefahaman(MoU) bagi memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.Terlebih lagi apabila MoU tersebut tidak bersifat transformatif atau reformatif, tetapi sebaliknya bersifat mengekang, kompulsif dan koersif.
2. Walaupun kerajaan campuran PH terbentuk melalui penipuan dan manipulasi, mereka bukanlah kerajaan minoriti yang memerlukan Confidence Supply Agreement(CSA) atau kerajaan dengan majoriti tipis yang memerlukan MoU untuk memastikan pembangkang tidak menolak Rang Undang – Undang Perbekalan dan mengusulkan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri serta kerajaan.Oleh itu, tiada keperluan untuk mewujudkan MoU ini.
3. Lebih – lebih lagi, pemberian peruntukan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen adalah salah satu janji dalam Manifesto Harapan 2022. Perlu diingatkan, kawasan yang tercicir daripada mendapat peruntukan ini adalah kawasan majoriti pengundinya adalah pengundi Melayu.Jika setiap tahun sebanyak RM3 juta diberikan kepada kawasan ini untuk membantu rakyat di kawasan tersebut, bermaksud untuk tempoh lima tahun rakyat di kawasan ini akan tercicir bantuan sebanyak RM15 juta.Ini adalah suatu jumlah yang banyak.
4. Pemberian peruntukan secara sama rata tanpa sebarang MoU pernah dilaksanakan semasa Pandemik Covid19 oleh kerajaan Perikatan Nasional(PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ketika itu.Semua Ahli Parlimen, kerajaan mahupun pembangkang diberikan peruntukan sama rata sebanyak RM300, 000 bagi membantu rakyat di kawasan masing – masing tanpa sebarang rundingan, syarat yang mengarut atau MoU.Ketika ini, kerajaan – kerajaan negeri di bawah PN juga jauh mendahului Anwar dan PH apabila memberikan peruntukan secara sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) pembangkang tanpa sebarang MoU atau syarat yang membebankan.
5. Dari segi kandungan deraf MoU, ia berbeza dengan MoU yang pernah digubal di zaman kerajaan pimpinan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri yang bersifat transformatif.Sebaliknya, deraf MoU ini bersifat mengekang, kompulsif dan koersif dengan syarat – syarat yang boleh menjejaskan kebebasan Ahli Parlimen, bercanggah dengan nilai budaya, moral dan agama, serta tidak mempunyai mekanisme pelaksanaan yang jelas.
i.Deraf MoU ini berpotensi mengekang kebebasan Ahli Parlimen dalam menyuarakan kepentingan rakyat, khususnya dalam isu – isu berkaitan bangsa, agama dan Raja – Raja Melayu.Syarat ini boleh ditafsirkan sebagai sekatan terhadap hak demokrasi dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.
ii.Deraf MoU ini turut mengandungi elemen yang bercanggah dengan nilai tradisi, budaya dan moral masyarakat Malaysia, misalnya dalam isu LGBTQ.Ahli Parlimen harus diberi kebebasan untuk mempertahankan dasar yang selaras dengan nilai dan norma masyarakat.
iii.Deraf MoU ini tidak menyatakan dengan jelas jumlah peruntukan yang akan diberikan dan tidak mempunyai mekanisme yang jelas mengenai kaedah penyalurannya, membuka ruang kepada ketidakpatuhan dan manipulasi.
iv.Deraf MoU ini juga cuba memaksakan kepercayaan kerajaan terhadap pembangkang, termasuk menerima penipuan yang berlaku dalam pembentukan kerajaan campuran PH.Pihak tertentu cuba menganggap bahawa tiada satu parti yang memenangi kerusi yang cukup, sedangkan hakikatnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menerima sokongan 115 Ahli Parlimen pada 21 November 2022, yang sepatutnya memberi mandat kepada PN untuk membentuk kerajaan.
6. Perlukah Ahli Parlimen pembangkang dipaksa mengisytiharkan harta ? Secara prinsipnya, sesiapa yang berada dalam kerajaan wajib mengisytiharkan harta.Ini adalah amalan biasa dalam kerajaan sebelum ini, baik di bawah Barisan Nasional(BN) atau PN.Namun, tiada keperluan untuk Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta kerana mereka tidak terlibat secara langsung dalam peruntukan kerajaan seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, atau Ahli Parlimen kerajaan yang memegang jawatan dalam agensi atau GLC.Peluang untuk penyalahgunaan peruntukan lebih tinggi dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan.
7. Dari segi proses, peruntukan pembangkang bukan diluluskan oleh Ahli Parlimen pembangkang, tetapi oleh mereka yang berada dalam kerajaan, termasuk Menteri Kewangan.Oleh itu, kemungkinan untuk penyalahgunaan peruntukan adalah rendah kerana terdapat agensi yang mengawasi, seperti PAC, Jabatan Audit dan SPRM, untuk memantau penggunaan peruntukan oleh Ahli Parlimen pembangkang.
8. Peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen Pembangkang tidak sepatutnya bergantung kepada sebarang perjanjian atau MoU kerana kerajaan campuran PH ini bukan kerajaan minoriti atau kerajaan dengan majoriti tipis.Malah, janji ini telah terkandung dalam manifesto Perdana Menteri dan partinya dalam Pilihan Raya Umum ke – 15(PRU15).Peruntukan ini harus diberikan secara telus dan saksama tanpa syarat yang membebankan atau bertentangan dengan prinsip demokrasi, serta tanpa sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara Ahli Parlimen pembangkang.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Bin Aziz
11 Mac 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.