Demokrasi hanya teori, guna taktik lapuk lagi

October 20, 2026 · Politik

1. Hari ini, pendaftaran Perikatan Nasional dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta merta.

2. Alasannya, konon ada pelanggaran Akta Pertubuhan dan perlembagaan gabungan.

3. Undang-undang mesti dipatuhi. Tidak ada pertikaian soal itu.

4. Tapi undang-undang juga mesti dilaksanakan dengan adil. Bukan hanya adil pada kertas, tapi wajib dilihat adil dalam prosesnya.

5. Pada 13 Oktober 2026, Mahkamah Tinggi beri kebenaran kepada PN untuk mulakan semakan kehakiman.

6. Pendengaran permohonan penangguhan pula telah ditetapkan pada 22 Oktober 2026.

7. Tapi pada 20 Oktober 2026, pendaftaran PN sudah dibatalkan.

8. Dua hari lagi pun tidak boleh tunggu? Betul tak ada niat nak sekat hak demokrasi rakyat?

9. Apa alasan undang-undang yang kukuh? Jika ada, jelaskan kepada rakyat dan pertahankan di Mahkamah.

10. Persoalannya bukan sekadar sama ada ROS mempunyai kuasa. Persoalannya juga bagaimana, bila dan atas alasan apa kuasa itu digunakan.

11. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semua orang tahu dia pemangku Timbalan Presiden PKR, ada kewajipan tanggungjawab untuk jelaskan kebebasan ROS dalam membuat keputusan tersebut.

12. Kita pernah saksikan pertikaian mengenai penyalahgunaan kuasa pendaftaran pertubuhan terhadap sesuatu parti politik pada masa lalu.

13. Apakah kita sedang lihat sejarah yang berulang? Jangan malas belajar sejarah.

14. Kalau benar ROS bertindak secara bebas, tidak sepatutnya sukar untuk menjelaskan proses dan asas keputusannya.

15. Lebih-lebih lagi bilamana pembatalan dibuat ketika proses kehakiman sedang berjalan dan pilihan raya negeri Melaka semakin hampir.

16. Apakah terdapat sebarang arahan atau campur tangan politik? Jika tiada, nyatakan dengan jelas. Itu pun rakyat tahu dan faham. Bukan mudah nak bohong rakyat.

17. Kerajaan tidak sepatutnya biar timbul persepsi bahawa kuasa pentadbiran digunakan untuk menyekat persaingan politik.

18. BERSATU pula sambut keputusan tersebut dengan salahkan kepimpinan PAS.

19. ⁠Tak payahlah BERSATU berlakon terkejut lagi.

20. Setiausaha Agung BERSATU, Mohamed Azmin Ali, kata bahawa keputusan ROS bukti kegagalan tadbir urus PN.

21. BERSATU juga sebut tentang demokrasi, ketelusan dan hak parti komponen.

22. Baguslah. Semua itu prinsip yang penting.

23. Tapi kalau prinsip jadi ukurannya, semua tindakan dan pendirian BERSATU sendiri juga patut diperiksa guna ukuran yang sama.

24. Apakah kedudukan sebenar BERSATU terhadap kerjasama politik dengan Pakatan Harapan? Sibuk nak tubuh Ikatan Prihatin Rakyat untuk jadi tali barut pada Pakatan Harapan sedangkan sibuk mengaku masih parti komponen PN?

25. Laporan cadangan hubungan kerjasama antara BERSATU dan pentadbiran PH Selangor dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Takkan lupa?

26. ⁠Hubungan itu tak kabur. BERSATU paling tahu dan faham tentang soal kekaburan.

27. Adakah kerjasama tersebut mempunyai hubungan dengan pertikaian dalam PN? Atau kedua-duanya perkara yang berasingan?

28. Rakyat berhak dapat jawapan. Bukan sekadar kenyataan yang salahkan pihak lain.

29. Begitu juga dengan dakwaan bahawa pembatalan PN bermotifkan politik menjelang pilihan raya Melaka.

30. Dakwaan itu serius. Ia mesti diteliti berdasarkan dokumen, urutan kronologi tindakan dan keterangan yang boleh diuji.

31. ROS kata penjelasan PN tidak mencukupi. PN pula pertikai proses pembatalan dan berhasrat mencabarnya di Mahkamah.

32. Maka biarlah alasan kedua-dua pihak diuji secara terbuka.

33. Demokrasi tidak jadi lebih kukuh bilamana keputusan pentadbiran dianggap sentiasa betul.

34. Ketelusan dan kebertanggungjawaban hampir hilang. Masih adakah lagi?

35. Kalau pembatalan itu sah, jelaskan asasnya. Kalau prosesnya cacat, betulkan melalui saluran undang-undang.

36. Kalau betul Pakatan Harapan dan BERSATU ini begitu yakin bahawa rakyat sokong pendirian masing-masing, adakan terus PRU-16.

37. Adakah kerajaan sedia sahut cabaran PRU-16 lebih awal supaya rakyat dapat beri mandat baru.

38. ⁠Keputusan mengenai pembubaran Parlimen tetap tertakluk kepada Perlembagaan. Tetapi perbahasan tentang mandat rakyat tidak sepatutnya ditutup.

39. ⁠Tapi semua tahu keputusannya, Pakatan Harapan dan BERSATU juara di media sosial bila kumpul emoji ketawa dari rakyat segenap lapisan.

40. Buatlah PRU-16. Rakyat pun sudah muak dan jelik dengan sandiwara kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

41. Demokrasi sebenar bilamana keputusan pentadbiran boleh dicabar di Mahkamah.

42. ⁠Mandat politik pula akhirnya ditentu oleh kuasa pilihan rakyat.

Rafique Rashid Ali
20.10.2026

* Rafique adalah Ketua Penerangan Pejuang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi portal ini.

Berita berkaitan
PRN Melaka: UMNO sahkan PN rakan strategik BN
October 29, 2026· Politik
PN guna logo sendiri dalam PRN Melaka, calon umum 29 Oktober
October 26, 2026· Politik
PN mulakan prosiding tatatertib terhadap Bersatu, beri tempoh jawab pertuduhan
October 26, 2026· Politik
PAS boleh guna logo bulan jika tidak dapat guna logo PN
October 21, 2026· Politik