Tetapkan syarat menjadi Perdana Menteri sebelum menghadkan tempoh masa

March 19, 2025 · Politik · Sumber:

Sehari dua ini, terdapat perbincangan mengenai cadangan untuk mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal .

Pelbagai pihak memberi reaksi yang berbeza.

Bagi PAS, perkara yang perlu diberi perhatian dalam meminda perlembagaan berkenaan had tempoh menjadi Perdana Menteri adalah dengan terlebih dahulu meminda perlembagaan dengan menetapkan Perdana Menteri mestilah terdiri daripada Orang Melayu dan beragama Islam.

PAS berpendapat bahawa penetapan ini sangat penting demi menjamin kestabilan dan mengelak konflik di masa akan datang.

Rakyat Malaysia perlu menerima hakikat, negara ini sejak dahulu lagi dikenali sebagai negeri Tanah Melayu. Setiap warganegara Malaysia memahami melalui ikrar rukun negara bahawa Raja-Raja Melayu adalah tunggak pemerintah yang perlu diberikan ketaatan.

Maka semua rakyat tanpa prejudis perlu bersetuju bahawa jawatan Perdana Menteri ini harus dipikul oleh mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Penetapan ini perlu diberi keutamaan sebelum mencadangkan had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri.

Sebenarnya langkah menghadkan tempoh masa jawatan Perdana Menteri dengan alasan untuk mengelakkan salah guna kuasa serta penyelewengan tidak berbangkit. Hal ini kerana segala kerja baik atau buruk tidak terikat dengan tempoh masa, namun ia sebenarnya terikat dengan pegangan serta kepercayaan seseorang individu.

Iman dan taqwa menjadi teras utama kepada seseorang untuk melakukan kebaikan atau kejahatan.

PAS memandang jawatan sebagai suatu tanggungjawab dan amanah (taklif), bukan satu kemuliaan atau kebanggaan sebagaimana Islam mengajar umatnya bahawa segala amanah dan tanggungjawab hamba Allah yang diberikan di dunia ini akan disoal oleh Allah di akhirat.

Setiap Muslim harus meyakini bahawa seseorang itu mungkin boleh terlepas daripada hukuman di dunia, namun pastinya ia tidak akan terlepas di akhirat.

Atas keyakinan bahawa pemimpin yang bertakwa pasti tahu tanggungjawab berat yang beliau perlu pikul di akhirat, PAS berpendapat bahawa seseorang pemimpin Melayu Islam yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri hendaklah memenuhi kriteria tersebut. Hal ini pasti menjamin kestabilan negara pada masa depan, insya-Allah.

Timbalan Presiden PAS, YB Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

19 Mac 2025

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Cabaran keperlembagaan kebebasan kehakiman amat membimbangkan
June 17, 2025· Politik
Tarik balik permohonan imuniti!
May 31, 2025· Politik
Peguam Negara perlu campur tangan isu perdana menteri memohon kekebalan di mahkamah
May 29, 2025· Politik
Pentadbiran PN perlu berubah – respon Pemuda PAS terhadap pandangan DS Tuan Ibrahim Tuan Man
May 5, 2025· Politik