1. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan sifat sebenarnya sebagai Perdana Menteri yang angkuh dan sombong apabila mengatakan tiada isu pokok diketengahkan oleh ratusan ribu rakyat yang berhimpun pada hari ‘Turun Anwar’ 26 Julai lalu.
2. Selama dua setengah tahun, sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk, Anwar dan barisan Kabinetnya tidak pernah peduli rungutan rakyat, terutama dalam hal berkaitan kenaikan harga barang keperluan yang mencengkam hidup mereka.
3. Sekretariat Orang Melayu (SOM) mengingatkan Anwar, jangan sekali-kali memandang rendah Himpunan Turun Anwar Sabtu lalu, kerana doa rakyat teraniaya akan diterima Allah tanpa halangan.
4. Rakyat sudah memberi peringatan jelas kepada Anwar, mereka berdepan dengan masalah kehidupan tidak stabil dan tertekan, malah ada yang terjebak dalam kegiatan jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup.
5. Untuk pengetahuan Anwar, yang mendakwa kononnya tidak tahu apa isu sebenar hendak disuarakan oleh ratusan ribu rakyat baru-baru ini, saya ulang;
Pertama, untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10, khususnya dalam aspek ekonomi, dasar kerajaan dan paling jelas sekali, kegagalannya menunaikan janji-janji reformasi.
Kedua, sejak kerajaan Madani menarik balik subsidi diesel dan pelaksanaan SST diperluaskan bermula 1 Julai lalu, rakyat terutama golongan B40 dan peniaga kecil bangkit menyuarakan bantahan terhadap dasar itu.
Ketiga, rakyat mempersoalkan kegagalan Anwar menunaikan janji reformasi yang pernah beliau kemukakan ketika dalam blok pembangkang sebelum PRU15, termasuk isu integriti, rasuah dan kebebasan institusi.
Keempat, rakyat menuntut dan mendesak Anwar serta Kabinet Madaninya, menjelaskan beberapa keputusan yang dilihat tidak konsisten, termasuk pelantikan politik, pengurusan kewangan negara dan pendekatan terhadap kebebasan bersuara.
10. Atas alasan itu, rakyat berhimpun untuk menyampaikan isyarat bahawa mereka mahukan perubahan segera dan himpunan itu juga bukan sekadar protes terhadap tubuh badan Anwar, tetapi rakyat sudah hilang sabar dengan kepimpinan yang gagal memberi solusi konkrit dalam masa yang dijanjikan.
11. Kepada Anwar, hentikan sandiwara dengan memperlekehkan suara rakyat.
Dato’ Wira Marzuki Yahya
Ketua Setiausaha
Sekretariat Orang Melayu
28 Julai 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.