PAS memandang serius pendedahan bahawa minuman beralkohol telah dihidangkan dalam majlis makan malam sempena acara Global Travel Meet yang tersenarai dalam itinerari rasmi program Tourism Malaysia.
Alasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bahawa majlis tersebut adalah “inisiatif pihak industri dan swasta” adalah tidak masuk akal.
Apabila sesuatu majlis telah dimuat naik dalam laman sesawang rasmi Tourism Malaysia dan dijadualkan sebagai sebahagian daripada program rasmi, maka kerajaan melalui Tourism Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kandungan majlis tersebut.
Hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan bukan sahaja melanggar Pekeliling Perbendaharaan mengenai “Peraturan Mengenai Keraian Rasmi” yang jelas melarang penyediaan arak, malah bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Bagaimana majlis kerajaan boleh menghidangkan minuman yang jelas haram dalam Islam?
Mufti Wilayah Persekutuan juga telah menjelaskan dalam Irsyad Hukum Siri ke-224 bahawa haram bagi orang Islam duduk dalam majlis yang dihidangkan arak padanya.
Perkara ini bukan sahaja memalukan malah mengguris sensitiviti umat Islam di negara ini. Tatkala seluruh negara sedang memberikan tumpuan kepada keselamatan sukarelawan Global Sumud Flotilla, ada pihak dalam Kerajaan Madani memilih untuk merobek sensitiviti umat Islam.
Ini bukan kali pertama Menteri Pelancongan gagal menjaga sensitiviti umat Islam. Oleh itu, PAS mendesak agar YAB Perdana Menteri mengambil tindakan tegas memecat Menteri Pelancongan serta merta bagi memulihkan keyakinan rakyat dan menjaga kehormatan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
“KEMBALI KEPADA PENYELESAIAN ISLAM”
Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Bertarikh: 5 Oktober 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.