Jika kita bercakap mengenai hiburan di Terengganu, saya percaya ramai yang sangat memahami bahawa Terengganu adalah sebuah negeri yang mengamalkan peraturan boleh berhibur, tetapi mesti berdisiplin. Menariknya ia tidak terjadi pada ketika ini sahaja, malah ia berlaku semenjak puluhan tahun lamanya.
Tidak dapat tidak, peranan pemerintah di Terengganu boleh dilihat dengan begitu jelas mengawal hiburan. Walaupun tindakan PAS agak ketat berbanding Umno, namun tidak boleh dinafikan yang Umno, ketika pemerintahan Tan Sri Wan Mokhtar terutamanya juga tidak membiarkan kebebasan berhibur terlalu longgar.
Kalau dahulu, untuk sesuatu konsert diadakan di Terengganu, ia amat sukar. Konsert Search bersama Kumpulan Gersang pada sekitar tahun 1988 yang diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah adalah antara hitungan yang sangat kecil yang diberikan kebenaran. Tiada lagi konsert besar Rock Kapak selepas itu, kecuali artis jemputan di Pesta Pantai.
Jika sedang bermain apa-apa permainan dan terdengar azan berkumandang, mereka akan menghentikan permainan dan menyambung selepas itu. Tidak berlaku di negeri lain waktu itu, kecuali sekarang kelihatannya sudah diamalkan di kebanyakan tempat.
Malam Jumaat di Terengganu adalah malam yang dianggap sebagai malam mulia dan berkat. Malam baca Yaasin kata orang. Tiada sebarang hiburan dibenarkan walaupun perlawanan bola sepak. Malam Nisfu Syaaban juga adalah malam pilihan. Termasuklah juga malam-malam likur di bulan Ramadan kita mengejar pahala.
Bagi memahamkan semua, Terengganu pada ketika menang 2018 dahulu mempunyai dua Exco yang terlibat dengan hal berkenaan agama. Pun begitu, tiada istilah Exco Agama di Terengganu secara khusus. Kemudian pada 2023, portfolio berkaitan agama disatukan di bawah seorang Exco sahaja, YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
2018-2023, perlaksaan syariah tidak terlalu dipaksakan. Banyak hal dilaksanakan dengan nasihat dan kurang hukuman bagi kefahaman semua. Madinah Ramadan pada waktu itu dibuat di luar kawasan masjid bagi menarik orang ramai. Namun ada kritikan yang mahukan ia di dalam masjid untuk mendapat pahala iktikaf.
Busking juga waktu itu sangat banyak sehingga awal pagi, masih berlangsung, dikritik orang termasuk isu penyanyi wanita. Hal berkaitan hiburan ini agak sensitif kerana ia melibatkan pihak yang mencari rezeki. Jadi secara berhemah, Kerajaan Negeri memilih membenarkan mereka, namun perlu ada batasannya.
Kemudian pada penggal ini, perlaksanaan syariah sudah memasuki gear tiga sebagaimana kehendak MB. Maka banyak perlaksanaan yang agak tegas dilaksanakan seperti sebatan syariah, melarang umat Islam Terengganu dari menghadiri ritual agama lain. Semua ini rupanya sudah difahami majoriti rakyat yang nyata memilih PAS kerana mahukan syariat Islam diperteguhkan.
Beberapa hari lalu, ada kritikan terhadap Kerajaan Negeri berkenaan tempat moreh dan juga acara hiburan di malam Ramadan yang mulia ini, sepertinya tidak terkawal. Exco, YB Dr Muhammad Khalil segera mengambil tanggungjawab meminta maaf atas perkara itu dan memberi jaminan Kerajaan
Negeri mendengar keluhan rakyat. Adun Ladang, YB Zuraida berusaha menjadikan tempat moreh sebagai taman ilmu.
Oleh itu pada 10 malam terakhir Ramadan ini, MBKT dilihat menyahut kesungguhan Kerajaan Negeri dengan menghentikan acara hiburan seperti busking supaya umat Islam lebih fokus kepada ibadat yang dijanjikan Allah lebih baik dari 1000 bulan. Ini adalah kepercayaan kita, tidak kira kamu dari pihak mana, semua dari kita mahukan kelebihan 1000 bulan itu.
Hal berkenaan kemuliaan Ramadan ini juga telah dibuat oleh Sultan Zainal Abidin III ketika mana Terengganu waktu itu ditekan oleh British, untuk mencampuri urusan pentadbiran. Baginda menitahkan ulamak Terengganu memperbanyakkan doa meminta perlindungan dari Allah pada malam bulan Ramadan supaya Terengganu terselamat dari ancaman musuh. Allah memakbulkan doa itu dan Terengganu gagal diusik sehingga kemangkatan baginda.
Jadi jelas peraturan menghormati malam-malam atau hari-hari yang dimuliakan Allah telah dilaksanakan oleh beberapa ketua kerajaan yang pernah memerintah Terengganu yang dikenali juga sebagai negeri teduhan ulamak ini. Ia bukan sesuatu yang luar biasa, sesuai untuk kita memuliakan apa yang Allah dan RasulNya muliakan.
Diwaktu negara dilanda isu berkenaan kuil yang didirikan atas tanah wakaf milik orang Islam, isu berkenaan Rasulullah dihina, Islam diperlekeh, adakah kita sebagai rakyat Negeri Terengganu Darul Iman hanya mahu membahaskan isu arahan kegiatan busking dihentikan sementara kerana menghormati kemuliaan 10 malam terakhir Ramadan yang jelas semestinya kita muliakan?
Jikapun ada, saya yakin dan percaya ia hanya datang dari segelintir pihak yang mahu menjadi ‘hero’ konon memperjuangkan hak rakyat. Sedangkan majoriti rakyat Terengganu bersetuju untuk menumpukan kepada ibadat khusus pada 10 malam terakhir yang mulia ini. Marilah sama-sama kita memperbanyakkan doa untuk kita mendapat keampunan dari Allah. Tinggalkan dahulu sekejap hiburan.
Jika ada yang bercakap berkenaan kekurangan rezeki, kerana mematuhi arahan ini, percayalah rezeki itu jaminannya Allah dan Dia boleh menggantikannya dengan lebih banyak dan baik lagi kerana malam-malam ini adalah malam mustajab doa, maka berdoalah untuk rezeki itu insyaallah.
Mohd Nasir Abdullah
21 Mac 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.