Bila PAS buat keputusan, percayalah semua risiko sudah dikira

December 29, 2025 · Blog · Sumber:

Dalam politik, keputusan besar jarang datang tanpa risiko. Bezanya, ada parti yang bertindak kerana emosi dan ada parti yang bergerak dengan kiraan panjang. Bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), hampir setiap keputusan strategik dibuat dengan satu prinsip: menang atau kalah, kepentingan ummah wajib diambil kira dan implikasi jangka panjang mesti difahami.

Detik Awal: Muafakat Nasional & Fasa Kritikal UMNO

Kita imbas kembali saat United Malays National Organisation (UMNO) berada dalam fasa paling kritikal selepas kejatuhan Najib Razak. Ketika itu, PAS menghulurkan tangan membentuk Muafakat Nasional (MN) — satu seruan agar semua parti berteras Melayu Islam duduk di bawah satu payung demi kestabilan politik Melayu-Islam.

Namun, realitinya tidak semudah slogan. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak diterima oleh kepimpinan utama UMNO. PAS pula berdepan ultimatum: Bersama UMNO tanpa BERSATU, atau bina satu gabungan besar yang merangkumi semua parti Melayu — UMNO dan BERSATU sekali.

Risiko Besar PAS, Risiko Besar UMNO

PAS memilih jalan tidak meninggalkan sesiapa. UMNO pula memilih risiko tidak bersama dalam Perikatan Nasional (PN).

Hasilnya? Politik bergerak seperti yang kita saksikan hari ini.

Ini penting difahami: tiada pihak yang ‘tersalah’ semata-mata — masing-masing membuat pilihan, dan setiap pilihan ada kosnya.

PRU15: Menang Besar, Tapi Tetap Mengalah Demi Pasukan

Apabila PAS menang 43 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15, logiknya PAS boleh:
Mengambil jawatan Ketua Pembangkang, Pengerusi PN dan lain2. Menuntut lebih kuasa dan pengaruh. Tetapi PAS tidak berbuat demikian.

Kenapa?

Kerana PAS mengambil hati rakan sepasukan dan melihat risiko politik jangka panjang. Dalam bola sepak, ada masa penyerang turun bertahan supaya pasukan tidak bocor. PAS memilih peranan itu — walaupun tidak popular di mata sebahagian penyokong sendiri.

Perlis: Risiko Pusat Demi Redakan Gelora Akar Umbi

Isu di Perlis pula sering disalahfahami. Keputusan PAS pusat bukan semata-mata soal negeri kecil di utara itu, tetapi soal sentimen ahli PAS di seluruh negara. Jentera dan komitmen ahli PAS sungguh tinggi. Mereka cuba mengangkat PN walaupun Pengerusi kawasan dan negeri seolah tidak berminat.

PAS tahu satu hakikat yang pahit tetapi benar:

Ramai ahli PAS lebih selesa dengan MN berbanding PN. Jika rasa tidak puas hati ini dibiarkan, letupannya bukan di Perlis sahaja, tetapi di seluruh negara.

Maka PAS pusat memilih risiko memadam api sebelum merebak demi ketenangan jangka panjang jemaah dan rakan sepakatan. Ini yang tidak dapat dibaca oleh sebahagian kepimpinan PAS di Perlis. Mereka fikir, masalah di Perlis akan tamat di Perlis sahaja tanpa memikirkan implikasi PAS dan PN di seluruh negara. Akhirnya PAS Pusat mengambil risiko untuk menarik handbrake kepada tiga orang ADUN PAS semoga semangat PN terus terpelihara di seluruh negara.

Sebaliknya, BERSATU Perlis memilih jalan pintas yang menguntungkan mereka sementara sahaja. Juga tidak memikirkan nasib Bersatu di seluruh negara. Menang sementara di Perlis Tetapi rugi dari segi kepercayaan nasional. Pemimpin negeri kecil yang berfikiran kecil.

Politik bukan sekadar menang hari ini — ia tentang kelangsungan esok.

PAS bukan parti yang bermain dadu.

Setiap langkah:

Sudah dikaji

Sudah ditimbang

Sudah diambil kira kesan jangka pendek dan jangka panjang

Kadang-kadang keputusan PAS tidak menggembirakan semua orang. Itu normal. Tetapi satu perkara konsisten sejak dahulu hingga kini:

Bila PAS buat keputusan, percayalah — risiko itu bukan tidak disedari, tetapi telah diterima dengan sedar.

Dalam politik, keberanian sebenar bukan hanya berani melawan musuh, tetapi berani menanggung risiko demi prinsip dan kesatuan jemaah.

Dr. Mazri Yahya
29hb Disember 2025

Berita berkaitan
3 bekas ADUN Perlis cabar keputusan Speaker di mahkamah, boleh ke?
January 3, 2026· Politik
Rejuvenasi Perikatan Nasional
December 31, 2025· Politik
Revolusi politik
December 31, 2025· Politik
Selepas Tan Sri Muhyiddin, PN perlukan teraju paling stabil
December 30, 2025· Politik