Budi 95: Janji besar, hasil kecil, syarat bertindan

September 25, 2025 · Politik · Sumber:

Pemuda PAS Malaysia memandang serius kelemahan skim subsidi petrol Budi 95 yang ternyata jauh tersasar daripada janji awal kerajaan Madani. Pada mula diperkenalkan, skim ini digembar-gemburkan mampu menjimatkan RM16 bilion setahun. Namun angka itu merosot kepada RM8 bilion, dan akhirnya tinggal hanya sekitar RM2–4 bilion. Penjimatan kecil ini langsung tidak memberi kesan bermakna kepada kedudukan fiskal negara, malah boleh menjadi beban baharu sekiranya harga minyak dunia terus meningkat kerana kerajaan terpaksa menambah subsidi.

Lebih membimbangkan, agihan subsidi ini jelas tidak adil. Golongan T20 dan pemilik kereta mewah tetap menerima manfaat yang sama seperti rakyat marhaen yang hanya menggunakan motosikal atau kereta kecil. Malah pengguna pengangkutan awam tidak mendapat sebarang faedah. Ini menjadikan Budi 95 bersifat regresif dan bercanggah dengan semangat keadilan sosial.

Kuota 300 liter sebulan juga tidak menyelesaikan masalah asas. Walaupun mencukupi bagi kebanyakan pengguna, ia memberi isyarat songsang – lebih banyak guna, lebih banyak subsidi. Matlamat sebenar mengurangkan penggunaan petrol, kesesakan jalan raya, serta pencemaran alam tidak tercapai.

Lebih menyulitkan, rakyat dibebankan dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi. Terbaru, Menteri Pengangkutan mengumumkan pemegang lesen yang gagal diperbaharui lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi, melibatkan 925,421 pemegang lesen dengan 154,641 hampir mencecah tempoh tiga tahun [Berita Harian, 24 Sept 2025]. Keputusan ini hanya menambah beban teknikal kepada rakyat sedangkan subsidi minyak adalah soal keperluan harian.

Paling mengecewakan, skim ini tetap membuka ruang luas kepada ketirisan kerana kuota besar mudah disalahgunakan termasuk dijual semula atau digunakan bagi kenderaan syarikat. Lebih parah lagi, data PADU bernilai RM85 juta yang sebelum ini dipaksa rakyat daftar tidak digunakan langsung. Rakyat berasa tertipu kerana segala kos dan keributan mengisi PADU tidak memberi apa-apa makna dalam dasar subsidi.

Pemuda PAS menegaskan Budi 95 adalah dasar populis sementara yang gagal menyelesaikan masalah fiskal, gagal menutup ruang ketirisan, dan gagal berlaku adil kepada rakyat. Kami mendesak kerajaan kembali kepada subsidi bersasar yang benar-benar mengutamakan golongan memerlukan, menutup ketirisan, dan dalam masa yang sama menjamin kelestarian kewangan negara.

Rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan uji kaji demi kepentingan politik sempit.

YB Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Tarik balik subsidi gas: Rompakan terbaru Kerajaan Madani
May 29, 2025· Politik