Perikatan Nasional (PN) memandang serius kebimbangan yang semakin memuncak berikutan persaraan seramai sembilan (9) orang hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Ketua Hakim Negara, dalam tempoh terdekat ini. Gelombang perubahan ini dilihat bukan sahaja luar biasa, malah merupakan cabaran dan ujian terbesar terhadap komitmen Malaysia kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
Kenyataan tegas oleh YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara, baru-baru ini adalah peringatan yang amat penting. Beliau mengimbau kembali Krisis Kehakiman 1988 sebagai detik paling gelap dalam sejarah perlembagaan negara dan mengingatkan bahawa tanggapan campur tangan politik sahaja pun sudah cukup untuk merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Walaupun penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada tahun 2009 dilihat sebagai pembaharuan, ketelusan dan kebebasan sebenar dalam pelantikan berkenaan masih menjadi tanda tanya malah kembali dipersoalkan.
Dengan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu serta beberapa jawatan tertinggi lain bakal dibuat, PN menyeru agar proses ini benar-benar berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang khusus yang berkaitan serta benar-benar bebas daripada pengaruh politik mahupun campur tangan yang tidak sewajarnya.
Adalah amat mendukacitakan sekiranya benar berlakunya pertelingkahan yang tidak wajar di kalangan ahli-ahli JAC dalam proses perlantikan yang bakal dibuat bagi posisi-posisi tertinggi badan kehakiman negara.
Sehubungan itu, PN ingin menyatakan pendirian berikut:
1. Ketelusan Dalam Pelantikan Hakim
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mestilah diberi ruang sewajarnya untuk melaksanakan fungsinya tanpa sebarang tekanan politik khususnya daripada pihak eksekutif. Justeru nama-nama yang disyorkan hendaklah berdasarkan kelayakan, integriti dan senioriti, bukan atas hubungan atau kecenderungan politik.
2. Pengawasan Parlimen yang Seimbang
PN mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan untuk memantau proses pelantikan bagi menjamin akauntabiliti tanpa mengganggu kebebasan kehakiman.
3. Komitmen Terbuka dari Perdana Menteri
Perdana Menteri mesti memberi komitmen terbuka akan bertindak semata-mata berlandaskan fungsinya di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan serta tidak akan mencampuri proses pelantikan kehakiman sekaligus menghormati sepenuhnya doktrin pengasingan kuasa (the doctrine of separation of powers).
4. Reformasi Perundangan
PN mencadangkan agar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada tahun 1988 dikaji semula dengan tujuan mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai cabang yang setara dalam pemerintahan (co-equal branch of government).
PN juga ingin menegaskan bahawa kebebasan kehakiman adalah asas sebuah demokrasi yang matang dan bukan suatu pilihan semata-mata. Rakyat Malaysia berhak kepada sistem perundangan yang dapat ditegakkan dengan ‘tanpa rasa takut atau pilih kasih’ (without fear of favour) serta tegas, adil dan bebas (firmly, fairly and independently).
Sesungguhnya keputusan yang diambil hari ini akan menentukan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman untuk puluhan tahun akan datang.
Justeru PN akan terus memainkan peranan sebagai entiti semak dan imbang yang bertanggungjawab, mempertahankan kebebasan badan kehakiman daripada sebarang bentuk pengaruh atau cubaan kembali kepada era gelap pengkhianatan perlembagaan (the dark days of constitutional betrayal).
YB DATO’ SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Ketua Whip
Ahli Parlimen Perikatan Nasional
17 Jun 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.