Joget di Parlimen Jadi Api
Awal Ogos 2025, selepas Sidang Tahunan MPR/DPR/DPD di Senayan, Jakarta, acara rasmi ditutup dengan persembahan orkestra TNI & Polri. Lagu-lagu daerah dimainkan, beberapa ahli dewan diajak berjoget di pentas. Suasana santai, sekadar hiburan penutup. (DPR = Dewan Perwakilan Rakyat, sama fungsi dengan Parlimen Malaysia. MPR/DPD = gabungan badan perundangan, kira macam gabungan Dewan Rakyat + Dewan Negara.) Namun apabila rakaman itu tersebar dengan kapsyen “joget sebab gaji naik”, ia terus jadi bahan marah rakyat. Fakta sebenar: gaji pokok anggota DPR tidak pernah naik hampir 20 tahun. Yang berubah hanyalah soal rumah. Dulu, setiap ahli DPR diberi rumah dinas (rumah kerajaan). Mulai penggal ini, rumah itu ditarik balik. Sebagai ganti, mereka diberi elaun perumahan tunai Rp50 juta sebulan (lebih kurang RM15,000). Elaun ini hanya untuk setahun sahaja (Okt 2024 – Okt 2025), dibayar bulanan bagi menampung sewa sepanjang 5 tahun penggal. Alasannya, lebih murah daripada kerajaan perlu bina dan selenggara rumah rasmi. Secara teknikal, ia bukan kenaikan gaji. Tetapi di mata rakyat yang hidup dengan gaji minimum Rp2–3 juta sebulan (RM600–900), angka Rp50 juta itu bagai langit dan bumi. Ditambah pula dengan cukai naik, harga barang melambung, subsidi makin dipotong — jurang inilah yang menjadikan joget itu tafsiran elit berpesta di atas penderitaan rakyat.
Cukai: Bara Yang Membakar
Kalau hanya kerana satu video joget, tentu tidak logik Indonesia boleh terbakar. Joget hanyalah percikan api, bukan punca utama. Bara sebenar datang dari cukai. Di Pati, Jawa Tengah, kerajaan menaikkan cukai tanah dan bangunan (PBB-P2) sehingga 250%. (PBB-P2 = Pajak Bumi & Bangunan Perdesaan dan Perkotaan, lebih kurang macam cukai taksiran/cukai pintu di Malaysia.) Petani kecil dengan sawah beberapa petak, tiba-tiba bil cukai melompat tiga kali ganda. Peniaga pasar yang hidup cukup-cukup pun tercekik. Lebih 85 ribu orang berhimpun, menuntut cukai itu dibatalkan. Kerajaan akhirnya tunduk, tetapi bara sudah merebak. Ia menjalar ke Jakarta, Medan, Surabaya. Bila dalam masa sama tersebar pula cerita ahli DPR dapat elaun rumah Rp50 juta, rakyat nampak kontras yang menyakitkan: mereka diperas dengan cukai, elit dapat wang tambahan untuk hidup mewah. Di sinilah joget itu berubah makna. Dari luar ia sekadar hiburan, tapi di hati rakyat ia simbol elit berpesta. Joget jadi percikan emosi, cukai jadi bahan bakar. Gabungan keduanya meletup jadi api nasional.
Protes & Tragedi Affan
Di jalan-jalan Jakarta, asap pemedih mata bercampur jeritan. Dari pelajar universiti, pekerja kilang, hingga ojol (ojek online – macam rider Foodpanda/Grab di Malaysia), semua turun ke jalan. Tuntutan mereka bukan lagi soal cukai semata, tetapi soal ketidakadilan yang makin menyesakkan dada. Dan di tengah protes, tragedi berlaku. Affan Kurniawan, seorang ojol muda, dirempuh kenderaan perisai polis Brimob (Brimob = unit polis anti-rusuhan, macam FRU di Malaysia). Tubuhnya rebah di jalan, tetapi namanya bangkit jadi simbol. Dari seorang anak muda yang tidak dikenali, lahir sejuta suara yang tidak lagi takut. Presiden Prabowo akhirnya tampil. Beliau memberi takziah, mengarahkan siasatan. Tujuh anggota polis ditahan. Malah kerajaan mengumumkan elaun perumahan DPR dibatalkan bermula November.
Api Kemarahan Merebak: Gedung DPRD Jadi Abu
Namun tragedi Affan bukannya noktah. Selepas darah tumpah di jalan, kemarahan rakyat makin membuak. Bermula 29 Ogos 2025, api mula menjilat gedung-gedung Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD). (Untuk pembaca Malaysia: DPRD ini lebih kurang sama seperti Dewan Undangan Negeri (DUN). Mesyuarat rasmi besar mereka dipanggil rapat paripurna, iaitu sidang penuh semua anggota dewan.) 29 Ogos – Makassar. Rapat paripurna baru hendak bermula bila ribuan orang merempuh pagar. Pos keselamatan dibakar, kereta pejabat hangus, dan akhirnya seluruh bangunan DPRD rentung. Tiga hingga empat orang dilaporkan mati, ramai cedera parah, malah ada yang terjun dari tingkat empat untuk menyelamatkan diri. 30 Ogos – Solo. Gedung DPRD Kota Surakarta turut diserang. Api marak menjilat bumbung, pasukan bomba cuba masuk tetapi dihalang orang ramai. Sekretariat DPRD, pos pengawal, semuanya musnah. Di Nusa Tenggara Barat. Gedung DPRD dibakar, barangan pejabat diangkut keluar. Laporan antarabangsa turut menyebut DPRD di Pekalongan dan Cirebon menerima nasib sama. Di setiap lokasi, laungan yang sama bergema: “Reformasi! Reformasi!”
Hoaks Menambah Minyak
Di tengah api marah, media sosial jadi alat provokasi. Sri Mulyani, Menteri Kewangan, difitnah dengan deepfake kononnya menghina guru. Ia palsu, tapi mudah dipercayai kerana beliau sinonim dengan dasar cukai. Uya Kuya & Eko Patrio, bekas artis popular, jadi wajah utama. Dalam rakaman joget, mereka menari paling depan, status selebriti pula menjadikan mereka target mudah. Video lama mereka dipotong, ditokok suara palsu. Nafa Urbach, bekas penyanyi pop Indonesia 90-an yang popular dengan lagu balada, juga pelakon drama bersiri (sinetron) era 90-an, cuba jelaskan dalam video. Malangnya, video itu diulas balik dengan voice over jadi bahan ejekan. Ahmad Sahroni, ahli politik bergelar “crazy rich Tanjung Priok”. Gagal membaca mood rakyat melabel yang berdemo yang minta DPR dibubarkan sebagai “tolol” dan budak bawah umur sertai demo sebagai “brengsek”. Maka dia masuk dalam senarai kena rumah mewahnya jadi simbol kebencian.
Monetisasi Jahat: Dalam Senyap
Kenapa hoaks disebar begitu rancak? Jawapannya mudah: duit. Kontroversi bawa view, view bawa duit. Akaun-akaun anonim mengaut hasil daripada iklan, sponsor gelap, gift dalam siaran langsung. Lagi ramai marah, lagi tinggi engagement, lagi besar pendapatan. Fitnah bukan lagi gurauan politik, ia sudah jadi industri lumayan.
Usaha Yang Sia-Sia
Yang lebih tragis, sebelum rumah mereka diserbu, Eko Patrio, Nafa Urbach, dan Uya Kuya berkali-kali cuba menenangkan keadaan. Eko tampil di media, jelaskan joget itu hanya hiburan. Nafa buat video penjelasan, merayu supaya rakyat jangan percaya fitnah. Dia juga janji semua elaun tu kalau dapat dia akan derma kepada guru-guru di kawasan dia. Kuya pula yang dah seminggu buat video penjelasan hoax memilih minta maaf secara terbuka. Tetapi semua itu tidak lagi berkesan. Bila emosi sudah menguasai logik, kebenaran tidak penting. Penjelasan dianggap alasan. Permintaan maaf dianggap sandiwara. Rumah mereka tetap jadi sasaran jarahan.
Dari Maya ke Anarki Jalanan
Apabila mob marah melimpah ke dunia nyata, rumah-rumah elit politik dan selebriti Indonesia menjadi sasaran. Bukan lagi sekadar protes, tetapi berubah menjadi pesta jarahan tanpa maruah.
Sri Mulyani – Rumahnya di kawasan elit Bintaro dipecah masuk dua kali. Bukan sekadar perabot, malah lukisan-lukisan seni berharga hilang, dibawa lari oleh perusuh. Nafa Urbach – Bekas artis sinetron ini kehilangan pakaian jenama pereka (desainer), televisyen bersaiz besar, dan peti sejuk yang diangkut keluar seperti barang pindah rumah.
Eko Patrio – Rumahnya disapu bersih. Peti sejuk, karpet, meja, kerusi dan perabot besar semuanya diheret keluar oleh perusuh. Uya Kuya – Bukan sekadar barang rumah. Perusuh turut mencuri kucing peliharaan keluarganya. Binatang kesayangan pun tidak selamat dari kegilaan massa.
Ahmad Sahroni – Rumah “crazy rich” ini jadi babak paling heboh. Patung Iron Man bersaiz manusia diheret keluar, kereta Tesla dan Lexus dirosakkan, wang dolar yang disimpan bertaburan di lantai, malah ada perusuh yang sempat berenang di kolam renang rumahnya seolah-olah meraikan pesta. Lebih memalukan, ada juga laporan bahawa pakaian dalam antara barang yang dicuri. Dari isu cukai dan keadilan sosial, akhirnya rusuhan berubah menjadi pesta mengambil apa sahaja yang boleh digapai seolah-olah dendam rakyat dilepaskan bukan pada sistem, tetapi pada rumah dan harta benda individu.
Jari Tengah Kepada Selebriti Flex
Satu pola yang ketara muncul: kebanyakan mangsa bukan teknokrat atau pegawai kerajaan biasa, tetapi bekas selebriti dan tokoh yang terbiasa “flex” harta di media sosial. Apa yang dulu jadi tontonan glamor, kini jadi sasaran.
Uya Kuya – Rumah bernilai puluhan bilion rupiah, duduk di atas tanah seluas 6,000 meter persegi, lengkap dengan lift peribadi untuk naik ke bilik utama, pintu kod keselamatan, serta koleksi barang pelik. Pernah jadi konten house tour YouTube.
Eko Patrio – Kediaman mewah bernilai sekitar Rp150 bilion. Ada rooftop pool di tingkat 4, lift telus (transparent lift) yang kelihatan dari luar, dan lif kecil khas untuk hantaran makanan ke rooftop. Rumahnya sering jadi latar konten media sosial.
Nafa Urbach – Rumah bergaya sinetron, penuh dengan busana jenama antarabangsa dan ruang tamu luas. Pernah dipamer dalam konten digital, menampakkan imej gaya hidup elit artis.
Ahmad Sahroni – “Crazy rich Tanjung Priok” dengan rumah seperti muzium hobi. Ada lift peribadi, kolam renang indoor, rooftop dengan pemandangan pelabuhan, serta koleksi Tesla, Lexus, motosikal besar dan jam mewah. Semua ini pernah dipamer dengan bangga dalam house tour dan posting media sosial. Semua rumah ini dulu dianggap hiburan untuk penonton media sosial, tetapi ketika amarah rakyat membuak, ia bertukar jadi simbol jurang sosial. Dan simbol inilah yang pertama mereka serbu.
Reaksi Kerajaan
Kerajaan cuba kawal keadaan: Kominfo panggil TikTok, Meta, YouTube, X — arah buang konten hoaks & deepfake tanpa tunggu arahan rasmi. (Kominfo = Kementerian Komunikasi & Informatika, sama macam MCMC di Malaysia.) Umumkan penggunaan AI moderation dan roadmap nasional untuk kawal penyalahgunaan teknologi. Polis & TNI dikerahkan untuk kawal rumah tokoh selepas siri penjarahan. (TNI = Tentera Nasional Indonesia, macam ATM di Malaysia.)
Jurang Kemiskinan dan Kemewahan
Pada akar paling dalam, rusuhan ini bukan sekadar soal video joget atau elaun rumah. Ia soal jurang kemiskinan dan kemewahan yang terlalu ketara. Rakyat hidup dengan gaji minimum Rp2–3 juta sebulan (RM600–900), cukup-cukup untuk makan dan menyewa bilik kecil. Petani tertekan dengan cukai tanah yang meningkat. Pekerja bandar terhimpit dengan harga barang yang naik tanpa henti. Sementara itu, wakil rakyat dan selebriti politik mendiami rumah ratusan bilion rupiah, lengkap dengan lif peribadi, kolam renang indoor, rooftop pool, koleksi kereta Tesla dan Lexus, jam tangan ratusan ribu ringgit, malah patung Iron Man di ruang tamu. Semua itu pernah dipertontonkan dalam konten YouTube atau Instagram. Kontras ini membakar jiwa rakyat. Ketika perut kosong, setiap video flex terasa seperti sindiran. Ketika cukai menjerut, setiap kemewahan pemimpin terasa seperti penghinaan. Jurang inilah bahan letupan sebenar. Hoaks dan monetisasi hanyalah pemetik api.
Pelajaran dan Pengajaran
Cerita ini bergerak macam domino: Joget hiburan → elaun rumah Rp50 juta (disalahfaham rakyat) → cukai naik 250% → protes → tragedi Affan → pembakaran DPRD di merata Daerah → Hoaks melata & deepfake → monetization jahat → DPR bekas artis yang biasa flex kemewahan serta DPR yang capul mulut panggil rakyat tolol jadi sasaran → DPR dipindahkan turun jawatan/ ada cuba jelaskan/minta maaf tapi tetap gagal → mob anarkis → rumah dijarah → kerajaan campur tangan.
Kecuali Sahroni yang memang tersilap kata panggil rakyat tolol dan brengsek. Yang lain nampak lebih terkesan kerana status kemewahan yang mereka pernah pamerkan. Eko, Nafa, Kuya cuba jelaskan, ada yang minta maaf, tetapi semua sia-sia. Bila emosi sudah menguasai logik, kebenaran tidak penting lagi.
Dan di sinilah pengajaran untuk kita: monetization menjadikan fitnah industri, propaganda menjadikan kebencian modal politik, anonymity memberi topeng untuk menyalakan api tanpa perlu bertanggungjawab. Apa yang berlaku di Indonesia menunjukkan betapa berbahayanya bila tiga unsur ini bercampur. Satu video kecil boleh diterjemah jadi kerusuhan nasional.
Satu kapsyen palsu boleh membunuh. Dari satu telefon di tangan, mampu meruntuhkan emosi sebuah negara bangsa. Lebih penting, ia mengingatkan kita semua. Selagi jurang kemiskinan dan kemewahan dibiarkan melebar, selagi pemimpin gagal merasai denyut rakyat, selagi kemewahan dipamer ketika rakyat terhimpit maka apa-apa pun boleh menjadi pencetus.
Dari joget hinggalah sebaris kapsyen, cukup untuk menyalakan api anarki.
Khairul Azri
31 Ogos 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.