Di Negeri Sembilan bermula langkah PN untuk menawan Malaysia

20 jam lalu · Politik · Sumber:

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai titik permulaan kepada usaha gabungan itu untuk menawan Malaysia.

Beliau berkata, Negeri Sembilan menjadi lokasi penting untuk PN memulakan langkah perubahan politik di peringkat negeri sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Di Negeri Sembilan lah kita akan memulakan sejarah langkah untuk menawan Malaysia. Insya-Allah,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PN di Negeri Sembilan.

Menurutnya, kehadiran puluhan Ahli Parlimen pada majlis berkenaan menunjukkan kepentingan PRN Negeri Sembilan dalam perjuangan PN untuk melakukan perubahan dalam negara.

Dalam majlis sama, Samsuri mengumumkan 11 calon PN yang akan bertanding di Negeri Sembilan, selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan 25 calon pada malam sebelumnya.

Beliau berkata, dengan 11 calon yang diumumkan PN, jumlah keseluruhan calon yang bertanding di bawah gabungan itu di Negeri Sembilan adalah 36 orang.

Samsuri berkata, kesemua calon berkenaan tidak dilihat sebagai calon daripada parti masing-masing, sebaliknya membawa panji PN.

“Kita tidak panggil mereka sebagai calon daripada PAS, daripada Wawasan, daripada MIPP, daripada Gerakan. Tapi kita panggil mereka sebagai calon Perikatan Nasional,” katanya.

Samsuri turut menyeru seluruh jentera PN supaya menjaga calon-calon yang diketengahkan dan turun ke seluruh daerah bagi membawa panji gabungan itu dalam kempen PRN Negeri Sembilan.

Beliau yakin perjuangan tersebut mampu membawa PN kepada kemenangan serta membentuk kerajaan di Negeri Sembilan.

“Insya-Allah pada 1 haribulan ini sama-sama kita meraikan kemenangan dan kebersamaan kita dalam kerajaan di Negeri Sembilan,” katanya.

Berita berkaitan
25 DUN BN, 11 DUN PN, puzzle lengkap benam PH di Negeri Sembilan
20 jam lalu· Politik
Bersatu tanding PRN Negeri Sembilan guna simbol sendiri, PAS menyimpang daripada matlamat PN
July 16, 2026· Politik
Parti Wawasan Negara adalah hasil ijtihad Tuan Presiden PAS menuju PRU16
July 15, 2026· Politik
Lama mana Perdana Menteri boleh bertahan dengan keadaan politik hari ini?
July 13, 2026· Politik