Gerak kerja tersusun menentukan masa depan PN di Sabah

December 3, 2025 · Politik · Sumber:

Ketika kita semua gembira dengan kemenangan YB Dato’ Dr Ali Akbar di Karambunai, namun pada masa yang sama ia turut mengejutkan apabila Karambunai menjadi satu-satunya kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Setelah turun berkempen di lapangan, saya berpandangan banyak perkara perlu diberi perhatian oleh PN jika ingin menjadi parti utama pilihan rakyat Sabah. Kejayaan YB Datuk Dr. Aliakbar sebenarnya lebih terserlah sebagai kekuatan peribadi yang telah beliau bina sejak beberapa tahun lalu. Ia semakin kukuh apabila beliau terus turun padang dan menyantuni rakyat selepas dilantik sebagai ADUN Lantikan.

Dengan kekuatan itu, beliau tidak bertangguh. Beliau segera menyusun pelbagai program bersama rakyat tanpa mengira agama dan suku kaum. Beliau tidak kekok membantu ketika rakyat dalam kesusahan. Keterampilan peribadi, sikap mesra rakyat dan komitmen kerja yang tinggi menjadi antara resipi kejayaan beliau hari ini. Sokongan di saat akhir juga bertambah dengan bantuan jentera pelbagai pihak meskipun tanpa menawarkan wang kepada pengundi.

Budaya politik sogokan, janji bermusim, serta aktiviti “ziarah rakyat” yang hanya muncul ketika kempen adalah amalan lama yang sepatutnya ditinggalkan.

Bukan lagi rahsia, pemberian wang undi yang juga disebut sebagai “bom” pada hari-hari terakhir kempen masih berlaku secara terbuka dalam setiap pilihan raya. Pelanggaran peraturan seperti penggunaan jentera kerajaan, pengumuman projek ketika tempoh kempen, jamuan rakyat dan pelbagai bentuk pengagihan lain juga semakin berleluasa.

Perkara ini sememangnya salah dan perlu diberi perhatian lebih serius. Tindakan perlu diambil tanpa perlu menunggu petisyen pilihan raya. Malangnya, SPR dan SPRM masih belum bertindak tegas. Lebih menghairankan, badan pengawasan pilihan raya seperti BERSIH yang dahulunya lantang namun kini agak senyap dalam isu serius ini. Mungkin kerana majoriti pelanggaran dilakukan oleh pihak kerajaan.

Walaupun kita sedar sogokan mempengaruhi sebahagian keputusan pengundi, saya percaya masih ramai pengundi yang menolak budaya ini walaupun mereka menerimanya. Namun saya tetap bimbang, jika “bom yang tidak meletup” ini tidak dibendung, ia akan dinormalisasikan dan akhirnya merosakkan sistem pilihan raya kita.

Dalam masa yang sama, PAS yang bertanding enam kerusi mewakili PN perlu terus mendekati rakyat. PAS Sabah perlu memperbanyakkan cawangan, menambah keahlian dan menampilkan tokoh yang berwibawa. Pemimpin PAS mesti berada bersama denyut nadi rakyat, bukan hanya ketika kempen, tetapi sepanjang masa susah dan senang. Budaya politik matang dan sejahtera harus menjadi rangka kerja kita dalam berdakwah dan bersiyasah. Saya yakin masa depan PAS dan PN di Sabah akan menjadi lebih baik, Insya-Allah.

DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
02 Disember 2025

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Revolusi politik
December 31, 2025· Politik
PAS adalah parti masa depan Malaysia
December 22, 2025· Politik
Tun M ada hak perlembagaan untuk bersuara, mengkritik dan beri pandangan
July 19, 2025· Politik
Dua standard dalam pelantikan jawatan utama negara semakin terang
June 28, 2025· Politik