Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya mendesak kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM2,000 kepada RM2,500 satu tan termasuk subsidi bagi membantu pesawah berdepan peningkatan kos pengeluaran yang semakin membebankan.
Beliau berkata, tahun keempat keluhan pesawah berterusan menyaksikan kenaikan kos bahan api, membajak sawah, baja, racun, benih dan pengangkutan, sehingga menyebabkan sebahagian pesawah tawar hati untuk meneruskan penanaman padi.
Menurutnya, kelewatan penghantaran baja turut menambah tekanan kepada golongan petani yang kini berdepan kos pengurusan sawah lebih tinggi berbanding pendapatan.
Muslimin turut membangkitkan isu pemutuan padi yang didakwanya semakin membebankan apabila potongan hasil meningkat antara 20 hingga 50 peratus, berbanding sekitar 17 hingga 20 peratus sebelum ini.
Beliau mendakwa terdapat kes potongan mencecah 72 peratus walaupun hasil tuaian mencapai lebih tujuh tan.
“Ini mafia, ini sangat teruk,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat.
Beliau mempersoalkan pelaksanaan pemutuan yang didakwa tidak mengikut ketetapan surat arahan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, termasuk arahan bertarikh 16 Mei 2017 dan 8 Mei 2019.
Menurutnya, berdasarkan arahan berkenaan, pemutuan dan timbangan perlu dilakukan di tempat pertama padi dijual, bukannya selepas padi dicampurkan dengan hasil pesawah lain dan dihantar ke kilang.
Sehubungan itu, beliau meminta Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras mengambil tindakan serta membantu pesawah yang menjadi penyumbang utama kepada jaminan makanan negara.
Muslimin turut menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menggunakan kuasa di bawah subseksyen 4(2) Akta 522 berkaitan kuasa menetapkan harga maksimum dan minimum padi serta beras bagi menaikkan harga lantai padi kepada RM2,500 satu tan termasuk subsidi.
Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan ketika harga beras import yang disebutnya berada antara RM3.60 hingga RM5.40 sekilogram.
Dalam pada itu, Muslimin menyambut baik pengumuman Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam Belanjawan 2027 untuk menaikkan insentif penuaian daripada RM50 kepada RM100 satu tan.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada bayaran insentif bagi musim pertama 2026 telah dijelaskan dan tunggakan musim kedua 2025 sudah diselesaikan.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai bantuan racun yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, yang sepatutnya dinaikkan daripada RM200 kepada RM300, tetapi menurut maklumat yang diterimanya masih dibayar pada kadar lama.
“Buat lagi, buat lagi kemudian buat lagi. Penat tepuk meja sewaktu diumumkan dulu,” katanya, mempersoalkan pelaksanaan bantuan yang diumumkan kerajaan.
Beliau menegaskan kerajaan perlu memastikan pengumuman bantuan kepada pesawah diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar, selain mengambil langkah segera menangani kenaikan kos pengeluaran dan isu pemutuan padi.