Hentikan kerakusan pembangunan campuran Sekyen 24 Shah Alam, jangan ulangi tragedi Sri Muda

May 10, 2025 · Politik · Sumber:

Saya merujuk kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, saudara Danial Al Rashid, yang mempertikaikan bantahan saya terhadap projek pembangunan bercampur SA04 di Seksyen 24, Shah Alam. Kenyataan beliau bukan sahaja mengelirukan, malah memperlihatkan kecenderungan seolah-olah membela pemaju lebih daripada membela rakyat.

1. Penduduk Sokong Pemulihan Sungai, Tapi Tolak Projek Perumahan Atas Dataran Banjir

Penduduk Seksyen 24 menyokong penuh segala usaha pemulihan Sungai Klang. Termasuk pelebaran, pendalaman dan pencantikan sungai. Tetapi mereka TEGAS MEMBANTAH projek pembangunan perumahan yang bakal dilaksanakan di atas tapak dataran tanah rendah, yang selama ini berfungsi sebagai retention pond semula jadi untuk kawasan sekitar.

Membangunkan kawasan ini bermaksud menghapuskan sistem kawalan banjir semula jadi yang amat diperlukan Shah Alam, terutama ketika perubahan iklim mencetuskan hujan luar jangka dan fenomena ekstrem.
2. Sri Muda: Bukti Bahaya Membina Atas Zon Takungan

Kita tidak lupa apa yang berlaku di Sri Muda.

Kawasan itu juga asalnya zon takungan air, namun dibangunkan menjadi kawasan perumahan. Hasilnya adalah tragedi banjir besar Disember 2021 yang mengorbankan nyawa dan harta benda.

Kajian kritikal media seperti Sinar Harian membuktikan ia bukan bencana semula jadi semata, tetapi hasil kegagalan perancangan dan ketamakan pembangunan.

Jangan ulangi kesilapan itu di Seksyen 24. Kali ini, rakyat sudah bersuara sebelum tragedi berlaku dan suara itu wajib didengar, bukan disindir.

3. Siapa Sebenarnya Menang?

Projek bernilai hampir RM900 juta ini kononnya dikatakan mencipta situasi ‘menang-menang’. Tapi yang jelas, hanya pemaju yang menang, rakyat terus menanggung risiko:

1. Sekolah sedia ada tidak mampu tampung pelajar baharu.

2. Masjid makin sesak, tiada tapak baru disediakan.

3. Laluan trafik bertambah sesak.

4. Risiko banjir semakin besar.

Rakyat tak perlukan pelan cantik atas kertas. Mereka mahu hidup selamat, sejahtera dan tidak dihanyutkan sekali lagi oleh projek yang gagal.

4. 5 Kali Townhall : Bantahan Keras Tetap Konsisten

Bukan satu, bukan dua tetapi lima sesi townhall telah diadakan bersama penduduk. Dan dalam sesi terakhir, bantahan keras telah disuarakan oleh:

1. Gabungan Persatuan Penduduk

2. PIBG

3. Tokoh masyarakat

Adakah suara rakyat ini masih mahu didiamkan dengan alasan “taklimat teknikal telah diberi”?

Dialog bukan untuk menyenangkan pemaju, dialog sepatutnya menyelamatkan rakyat. Tapi apabila bantahan berulang kali dibakul sampahkan, itu bukan libat urus tetapi itu pemaksaan.

5. Sindiran SG4: Pelarian Dari Kegagalan Sendiri

Menyindir negeri SG4 yang ditadbir PAS sebagai ‘ketinggalan’ adalah taktik murahan untuk melarikan diri dari isu sebenar. Kelemahan pengurusan banjir dan pembangunan di bawah kerajaan negeri Selangor sendiri.

Fakta: banjir di Shah Alam, termasuk di Batu Tiga, DUN saudara Danial sendiri. berlaku di bawah pemerintahan PH.

Jangan salahkan negeri lain, sedangkan tangki empangan dan sistem saliran sendiri pun gagal diurus.

Saya tegaskan:

Kami bukan menolak pembangunan. Kami menolak pengkhianatan terhadap prinsip kejuruteraan bandar, kesejahteraan komuniti dan kelestarian ekologi.

Saya mencabar YB Danial Al Rashid untuk hadir dalam sesi dialog terbuka bersama penduduk Seksyen 24, pihak MBSA, pemaju dan kerajaan negeri. Mari kita bentangkan pelan sebenar, fakta lapangan dan suara rakyat secara jujur, bukan berselindung di balik kertas cadangan.

Kami akan terus berdiri bersama rakyat. Jika tragedi seperti Sri Muda berulang di Seksyen 24, hari ini telah kami beri amaran.

MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS Selangor
Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Kedaulatan undang-undang: Tiada siapa yang kebal
May 29, 2025· Politik
‘NFA’ kes serangan asid Faisal Halim, titik hitam dalam sejarah sukan negara!
May 8, 2025· Politik
Pentadbiran PN perlu berubah – respon Pemuda PAS terhadap pandangan DS Tuan Ibrahim Tuan Man
May 5, 2025· Politik
Isu ladang babi: Masa jadi kerajaan apa Perikatan Nasional-PAS buat?
April 18, 2025· Politik