Insiden Putra Heights: PN sambut baik kenyataan Ketua Polis Selangor, mahu siasatan profesional dan telus

April 5, 2025 · Politik · Sumber:

Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan kenyataan media Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan hari ini berhubung insiden letupan gas dan kebakaran besar yang menggemparkan negara di Putra Heights, Puchong pada 1 April lepas.

Walaupun banyak isu dan persoalan berkait insiden malang itu belum terjawab, namun PN percaya kenyataan awal beliau adalah langkah tepat dalam usaha menyediakan maklumat sah secara rasmi. Ini akan membantu meredakan rasa panik dan bimbang dalam kalangan orang ramai, sekali gus menghalang penyebaran maklumat serpihan, pramatang mahupun khabar angin oleh pihak-pihak yang tidak berwibawa.

Dalam konteks bencana besar seperti yang berlaku ini, integriti, ketelusan, kesegeraan dan kejelasan maklumat daripada sumber sah adalah sangat penting bagi menghindari suasana tidak tenteram awam yang berpotensi mencetuskan masalah-masalah lain pula. Simpang-siur, percanggahan, ketidakjelasan malah salah maklumat terutama daripada pihak berkuasa sendiri seperti yang berlaku sebelum ini haruslah dielakkan, malah dihentikan sama sekali.

PN juga menyambut baik komitmen pasukan polis, sebagai komponen utama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang merupakan organisasi induk pengurusan bencana untuk melengkapkan laporan awal kejadian dalam tempoh dua minggu akan datang, sementara laporan lengkapnya dijangka siap dua minggu selepas itu.

PN mengambil maklum bahawa siasatan yang sedang berjalan adalah terbahagi kepada dua aspek, iaitu aspek teknikal yang diketuai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan aspek jenayah yang merangkumi isu-isu khianat, kecuaian dan jenayah lain yang dikendalikan oleh pihak polis sendiri.

Siasatan yang profesional, telus, menyeluruh, adil dan berintegriti akan menjadi kayu ukur kepada komitmen kita pada kebenaran, kedaulatan undang-undang serta standard moral yang tinggi. Sebarang usaha untuk melindungi mana-mana pihak atau menyembunyikan apa-apa maklumat, keterangan dan salah laku bukan sahaja tidak boleh diterima, malah bercanggah sama sekali dengan tujuan siasatan itu sendiri.

Selain itu, siasatan ini juga akan menjadi asas kepada langkah penambahbaikan masa depan yang perlu ke atas semua protokol, proses, sistem, infrastruktur, amalan, malah peraturan dan undang-undang berkait industri serta perbekalan gas di seluruh negara bagi memastikan kejadian sama tidak berulang dan keselamatan semua pihak, terutama mereka yang berada di sepanjang jajaran paip bekalan, tidak terancam dalam semua keadaan dan kemungkinan.

PN juga menyambut baik semua usaha untuk membantu dan membela mangsa kejadian oleh semua pihak, baik di pihak kerajaan pusat dan negeri, kementerian, agensi, pertubuhan, syarikat serta individu. Dalam suasana bencana seperti ini, mangsa bukan sahaja telah kehilangan harta benda, kesihatan diri atau kesejahteraan hidup, tetapi turut berdepan dengan trauma serta kebimbangan hebat berkait masa depan masing-masing.

Dalam keadaan itu, adalah penting untuk mereka mengetahui dan melihat bahawa nasib dan masa depan itu terjamin dengan sokongan semua pihak dan seluruh rakyat. “Sebagai satu tubuh tunggal, kesakitan yang dirasai oleh mana-mana bahagiannya seharusnya turut dirasai dan dibela oleh bahagian dan anggota yang lain”, bak kata pepatah “berat mata memandang berat lagi bahu memikul”.

Inisiatif di pihak kerajaan negeri untuk menyediakan petempatan sementara kepada mangsa yang kehilangan tempat berteduh harus dipuji dan disambut baik. Langkah permulaan ini perlu diperkembangkan lagi kepada aspek-aspek kerugian dan kehilangan lain dengan harapan mereka yang terkesan bukan sahaja akan menikmati proses pemulihan penuh kehidupan asal mereka, malah perlu peningkatannya ke tahap yang lebih baik lagi.

Pujian dan ribuan terima kasih juga harus dirakamkan buat semua petugas terutama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, kesihatan, polis, sukarelawan dan sebagainya yang telah bertarung nyawa menyelamatkan keadaan pada hari kejadian dan hari-hari berikutnya sebagai teras barisan depan keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara yang tidak pernah menghampakan.

Terima kasih.

Ketua Whip, Takiyuddin Hassan

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN)

Bertarikh: 05 April 2025

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
‘NFA’ kes serangan asid Faisal Halim, titik hitam dalam sejarah sukan negara!
May 8, 2025· Politik
Laporan polis ke atas pemilik akaun palsu bernama “Muhammad Zikri Hashim”
April 11, 2025· Politik
Rakyat tunggu jawapan, bukan sekadar janji: Tragedi paip gas Putra Heights tuntut ketelusan dan akauntabiliti penuh
April 4, 2025· Politik
Islam wajib dimuliakan walaupun dihina
March 17, 2025· Politik