Isham Jalil dakwa UMDAP sasar 115 kerusi untuk pecah undi Melayu bantu PH menang

13 jam lalu · Politik · Sumber:

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, mendakwa langkah “UMDAP” untuk bertanding 115 kerusi dan menyasarkan kemenangan 44 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah sebahagian strategi memecahkan undi Melayu bagi memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, berdasarkan laporan yang diterimanya, sasaran 44 kerusi itu sendiri menunjukkan parti berkenaan sedar sukar untuk mencatat kemenangan besar, sebaliknya hanya perlu memecahkan sebahagian undi Melayu bagi membolehkan PH menang di banyak kerusi marginal.

“Kalau bertanding 115 kerusi, maksudnya kembali kepada strategi tiga penjuru. Tugas mereka bukan untuk menang banyak, tetapi untuk pecah undi Melayu. Tarik separuh sahaja daripada undi yang diperoleh sebelum ini pun sudah cukup untuk beri kelebihan kepada PH,” katanya.

Isham mendakwa beliau telah membuat analisis sama dua tahun lalu, dengan menyifatkan pertandingan tiga penjuru sebagai “optimum point” untuk membolehkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengekalkan kuasa.

Beliau berhujah, jika berlaku pertandingan satu lawan satu antara blok pembangkang dan PH, undi Melayu akan lebih mudah bersatu dan memberi cabaran besar kepada kerajaan. Justeru, kewujudan UMDAP sebagai parti yang bertanding secara solo didakwa hanya akan menguntungkan PH.

Dalam masa sama, Isham mengkritik kepimpinan UMNO yang menurutnya telah menjadikan parti itu sebagai “balaci” dan “barua” kepada DAP serta PH, semata-mata untuk mengekalkan jawatan dan kedudukan dalam kerajaan.

Beliau turut mengimbas prestasi UMNO pada PRU15 yang menyaksikan parti itu hanya memenangi 26 kerusi Parlimen berbanding lebih 50 sebelum ini, dan menyifatkan faktor kepimpinan sebagai antara punca utama penolakan pengundi.

Mengulas sasaran 44 kerusi yang didakwa ditetapkan UMDAP, Isham menyifatkannya sebagai “very tall order” dan meragui kemampuan parti itu untuk mencapainya. Malah, katanya, untuk mengekalkan jumlah kerusi sedia ada juga bukan sesuatu yang mudah.

Beliau menegaskan pendiriannya tidak akan menyertai UMDAP walaupun dijemput, namun tetap menyuarakan pandangan kerana masih sayangkan UMNO yang disifatkannya sebagai “parti keramat” orang Melayu.

PRU16 dijangka menyaksikan persaingan lebih sengit susulan percaturan kerusi dan potensi pertandingan pelbagai penjuru yang boleh mengubah landskap politik semasa.

Berita berkaitan
Isham ramal PRU16 hujung penggal kecuali DAP desak bubar
13 jam lalu· Politik
Revolusi politik
December 31, 2025· Politik
Bila PAS buat keputusan, percayalah semua risiko sudah dikira
December 29, 2025· Blog
PAS adalah parti masa depan Malaysia
December 22, 2025· Politik