Isu jalur gemilang terbalik: PAS gesa semua pihak kembali kepada falsafah kemerdekaan, rukun negara

August 16, 2025 · Politik · Sumber:

PAS mendapati arahan Setiausaha Agung DAP YB. Anthony Loke kepada sayap pemuda parti itu supaya membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Umno YB. Datuk Dr Akmal Salleh berkait satu himpunan yang berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin sebagai sesuatu yang berlebih-lebihan, janggal, malah berpotensi memburukkan lagi keadaan.

Sebagai parti-parti yang menganggotai gabungan politik yang sama di peringkat pusat dan negeri, DAP dan UMNO sepatutnya mencari jalan damai secara dalaman tanpa perlu melibatkan orang lain, sama ada pihak polis dengan beban kerja tidak perlu atau orang awam dengan naratif tidak sihat dan tidak membina.

Ini lebih-lebih lagi kerana suasana tidak selesa ini hanya berpunca daripada tindakan seorang individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan ia sudah pun berada dalam siasatan polis. Malangnya ia diperbesarkan oleh saling tindakan kedua-dua parti dengan alasan dan motif masing-masing. Untuk rekod PAS secara tegasnya telah menasihati Pemudanya supaya tidak campur dalam peristiwa tersebut.

PAS percaya kedua-dua pihak hendaklah menghormati dan menyokong proses rasmi siasatan polis yang sedang berjalan tanpa menambah tekanan tidak perlu. Kegagalan berbuat demikian oleh dua parti kerajaan ini hanya akan membawa kita hanyut malah boleh menjerumus kita kepada masalah berisiko yang lebih besar.

Tindakan tidak berhemah dan berlebih-lebihan di satu pihak hanya akan mengundang respons yang serupa atau lebih buruk daripada pihak yang satu lagi. Isu yang melibatkan seorang individu pada asalnya akan melimpah untuk menarik sama masyarakat luas ke dalam kitaran ganas yang tidak bermanfaat mahupun berkesudahan.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 68 yang bakal tiba beberapa ketika lagi, PAS menggesa semua pihak supaya kembali menghayati teras dan falsafah pembentukan negara serta prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai pedoman bersama untuk benar-benar merealisasikan cita-cita perpaduan dan kemakmuran semua tanpa mengira latar belakang kaum, budaya atau kepercayaan.

Terima kasih.
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 16 Ogos 2025.

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
UMNO jinakkan DAP?
May 18, 2025· Politik
Islam wajib dimuliakan walaupun dihina
March 17, 2025· Politik
Teresa Kok wajar laporkan kes kepada SPRM, kerajaan wajib laksanakan audit forensik segera!
March 14, 2025· Politik
UMNO membunuh diri sendiri
March 13, 2025· Politik