Kedah mencatat kejayaan apabila lebih RM100 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun sekaligus membuktikan negeri ini sedang melangkah maju ke hadapan.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian ini jelas menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap potensi negeri Kedah sejak tahun 2020 sehingga 2025.
“Kalau negeri kita ni seperti yang digambarkan oleh orang lain kepada kita, tentulah pelabur tak mai, depa tak akan datang.
“Pelabur sebelum meletakkan modal yang begitu besar dalam satu-satu industri, dia buat kajian, ahli lembaga pengarah syarikat, dia ada ejen yang akan membuat cadangan-cadangan, di manakah pelaburan yang paling sesuai untuk diletakkan modal,” katanya.
Beliau berkata sedemikian semasa sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar.
Tambahnya, banyak pencapaian telah dicapai khususnya dalam sektor industri dan pelaburan yang diketuai oleh YB Dr. Haim Hilman Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi), dengan jumlah pelaburan pada tahun ini dicatatkan sebanyak RM44.1 bilion.
Sanusi turut berharap agar sokongan terhadap pembangunan negeri Kedah berterusan terutama menerusi kerjasama erat pegawai-pegawai tadbir negeri.
“Saya harap ketenangan, perpaduan, bisnes yang sedang rancak di Kedah ini berterusan dengan perpaduan antara kaum yang sedang kita nikmati di Kedah, kita tidak meninggalkan mana-mana kaum di negeri ini dalam apa-apa sektor sekalipun.
“Janji yang kita letakkan tahun 2020 dulu, tidak akan menganaktirikan sesiapapun di negeri ini, kerana kita meletakkan slogan “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”, tiada yang akan terpinggir,” ucapnya.