Kedaulatan undang-undang: Tiada siapa yang kebal

May 29, 2025 · Politik · Sumber:

Pemuda PAS Malaysia memandang serius perkembangan terkini berkaitan kes saman sivil yang difailkan oleh saudara Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, melibatkan dakwaan serangan seksual. Pemuda PAS berpegang teguh kepada prinsip bahawa tiada sesiapa pun termasuk Perdana Menteri boleh dikecualikan daripada proses keadilan.

Cubaan PMX untuk mendapatkan kekebalan mahkamah dalam kes ini bukan sahaja mencemarkan prinsip “Rule of Law”, malah menjejaskan kredibiliti dan integriti kepimpinan negara yang sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat.

Kami menegaskan bahawa permohonan kekebalan oleh PMX adalah langkah yang bercanggah dengan semangat reformasi yang sering dilaung-laungkan beliau sendiri.

Perkara ini memberi gambaran bahawa ada usaha untuk melindungi diri daripada disoal siasat di mahkamah, justeru menimbulkan persepsi bahawa sistem keadilan negara hanya tegas kepada rakyat biasa, tetapi longgar terhadap tokoh politik.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia mengemukakan beberapa cadangan kepada Perdana Menteri:

1. Tarik balik permohonan imuniti
demi menjaga maruah institusi Perdana Menteri dan proses mahkamah dapat berjalan dengan bebas dan telus.
2. Berikan kerjasama penuh kepada sistem kehakiman dan mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai tekanan politik terhadap proses perundangan.
3. Tubuhkan Suruhanjaya Etika Kepimpinan Negara untuk menyiasat dakwaan salah laku etika terhadap mana-mana tokoh kepimpinan negara, termasuk terhadap Perdana Menteri sendiri, demi menjamin ketelusan dan akauntabiliti moral.
4. Hadapi proses mahkamah seperti anak jantan. Sekiranya benar tidak bersalah, buktikan ia di mahkamah. Jika bersalah, pohonlah maaf secara terbuka demi keadilan kepada mangsa.

Mengapa apabila YAB Perdana Menteri menyaman Ahli Parlimen lain seperti YB Datuk Ahmad Amzad Hashim dan YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mereka tampil dengan berani, menghadapinya secara terbuka dan bertanggungjawab seperti anak jantan? Tetapi apabila beliau pula yang disaman oleh rakyat biasa, tiba-tiba timbul permohonan kekebalan, seolah-olah tidak sanggup berdepan dengan proses keadilan yang sama?

Pemuda PAS Malaysia mengingatkan bahawa keadilan bukan hanya untuk rakyat biasa, tetapi lebih-lebih lagi harus ditegakkan terhadap mereka yang memegang kuasa. Jika Malaysia ingin benar-benar bergerak ke arah reformasi dan negara Madani seperti yang sering didakwa, maka Perdana Menteri harus menjadi insan pertama yang bersedia dipertanggungjawabkan sepenuhnya di sisi undang-undang.

YB Ustaz Mohd Hafez bin Sabri
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Has PAS reached saturation point?
September 10, 2025· Politik
Anwar sombong
July 28, 2025· Politik
Shamsul Iskandar putar belit fakta: Mahkamah, bukan Anwar, yang benarkan himpunan
July 28, 2025· Politik
Tarik balik permohonan imuniti!
May 31, 2025· Politik