Ketua Pemuda PAS tegaskan PAS kekal dalam Perikatan Nasional

June 12, 2026 · Politik · Sumber:

Ketua Penerangan PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan PAS masih kekal bersama Perikatan Nasional (PN) meskipun parti itu telah memutuskan hubungan politik dengan BERSATU.

Menurut beliau, keputusan yang diumumkan PAS hanya melibatkan hubungan politik dengan BERSATU dan tidak menjejaskan hubungan peribadi antara ahli serta pemimpin kedua-dua parti.

“PAS umum putus hubungan hanya dengan BERSATU. Hubungan yang terputus ialah hubungan politik, bukan hubungan kawan,” katanya dalam satu ceramah.

Afnan berkata PAS akan terus memperkukuhkan PN bersama rakan-rakan yang menghormati kedudukan dan peranan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Beliau menegaskan PN bukan milik mana-mana individu atau parti tertentu, sebaliknya merupakan wadah yang dibentuk hasil sokongan rakyat kepada parti-parti pembangkang.

Menurutnya, PAS mempunyai jumlah kerusi Parlimen dan sokongan pengundi Melayu-Islam terbesar dalam PN, sekali gus akan terus memainkan peranan utama dalam mengemudi gabungan tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut mengkritik pihak yang didakwa tidak menghormati kepimpinan PAS.

“Yang tak sanggup bersama kita, yang tak hormat kita, yang kata Presiden kita pekak, sila berambus keluar daripada Perikatan Nasional,” katanya.

Afnan turut menegaskan PAS sentiasa bersedia mempertahankan pendiriannya sekiranya dicabar oleh mana-mana pihak.

Katanya, segala keputusan yang dibuat oleh PAS kebelakangan ini bukan dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan agenda penyatuan ummah yang menjadi perjuangan parti itu sejak penubuhannya.

Berita berkaitan
Keputusan mahkamah bakal tentukan langkah PN dalam PRN Melaka
October 15, 2026· Politik
Pembangkang kritik Belanjawan 2027 tiada wawasan
October 15, 2026· Politik
PN lepasi halangan Mahkamah, 22 Oktober penentu nasib logo di PRN Melaka
October 15, 2026· Politik
Fadhli dakwa PH dipimpin Anwar ‘tidaklah sehebat mana’, ramal gelombang Melayu bakal merebak
July 20, 2026· Politik