Bekas Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil berpandangan krisis adat di Negeri Sembilan mungkin menjadi lebih buruk sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun kembali dilantik sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, Aminuddin yang menjadi calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ Pakatan Harapan (PH) akan berdepan persoalan besar sekiranya gabungan itu kembali membentuk kerajaan negeri.
“Kalau dia jadi MB semula, benda ini semua yang mengeruhkan keadaan adat di Negeri Sembilan ini mungkin jadi lebih teruk,” katanya dalam podcast bersama Janji.
Isham berkata, krisis tersebut tidak akan mudah diselesaikan sekiranya Aminuddin terus memimpin kerajaan negeri kerana empat ADUN Barisan Nasional (BN) dan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah menyatakan pendirian berhubung cara Menteri Besar itu mengendalikan isu berkaitan adat.
Katanya, krisis itu sepatutnya boleh dielakkan sekiranya Aminuddin berupaya menjadi pendamai dan tidak mengeruhkan keadaan.
“Kalau MB Aminuddin ini kompeten dan pandai mendamaikan, serta tidak mengeruhkan keadaan, benda ini boleh diselesaikan,” katanya.
Isham turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak berkaitan dengan institusi diraja, sebaliknya kritikan ditujukan terhadap cara kerajaan negeri mengendalikan isu adat.
Beliau berkata, pihak yang menyokong tindakan 14 ADUN BN tidak mempersoalkan institusi diraja, sebaliknya hanya membangkitkan tindakan kerajaan negeri dan mempertahankan institusi adat.
Menurutnya, institusi adat perlu bergerak selari dengan politik, namun ahli politik tidak boleh mencampuri urusan institusi berkenaan secara berlebihan.
Dalam pada itu, Isham mendakwa sokongan masyarakat Negeri Sembilan terhadap isu berkenaan turut berubah selepas mereka melihat beberapa tindakan kerajaan negeri yang didakwa menimbulkan persoalan, termasuk berkaitan pengurusan bangunan, elaun serta arahan pengosongan terhadap beberapa Undang.
Beliau berkata, perkembangan tersebut menyebabkan lebih ramai masyarakat mula memahami punca krisis dan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri.
“Kalau kita berterusan dengan MB sedia ada ini, krisis ini susah nak selesai. Kena tukar MB, kena tukar kerajaan,” katanya.
Isham turut berpandangan isu adat berpotensi memberi impak besar terhadap pola pengundian dalam PRN Negeri Sembilan, terutama selepas empat belas ADUN BN menarik sokongan terhadap Aminuddin atas alasan hilang kepercayaan.
Beliau berkata, walaupun kedua-dua pihak mendakwa mempertahankan adat, pengundi akan menilai tindakan sebenar setiap pihak, bukan sekadar kenyataan politik.
Isham sebelum ini turut mengaitkan krisis berkenaan dengan penarikan sokongan 14 ADUN BN terhadap Aminuddin serta sokongan lima ADUN PN, yang akhirnya membawa kepada perkembangan politik dan PRN Negeri Sembilan.