1.Akhirnya Menteri Zafrul maklum perjanjian kontroversi Amerika dan Malaysia dipersetujui Jemaah Menteri. Katanya kabinet lulus secara dasar.
2.Malah di Dewan Rakyat pagi ini, Zafrul dengan lantang kata sesiapa yang kritik perjanjian ini tidak hormat penjawat awam.
3.Semalam dalam video Menteri Zafrul kata ramai tidak faham dan gagal baca perjanjian secara penuh.
4. Klausa 5.1.1 jelas. Penuh. Panjang dan lebar. Bila baca keseluruhan maknanya mudah: Malaysia terikat dengan syarat-syarat Amerika. Ya, Malaysia ada ruang negosiasi,tapi, ia masih meletakkan Malaysia dalam posisi amat berat sebelah. Dalam bahasa mudah, dam haji, siap sedia kena makan.
5.Persoalan paling utama adalah: Bagaimana pasukan perunding kita biarkan klausa ini mengikat Malaysia sebegini rupa?
6.Perjanjian ini juga melibatkan nadir bumi dan mineral serta sumber asli. Tanah terletak bawah Senarai Negeri di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia milik negeri secara langsung di bawah Raja-Raja Melayu. Adakah MRR dan Negeri-Negeri dirujuk?
7.Memang benar kuasa memasuki perjanjian antarabangsa atau perdagangan antarabangsa ada pada kerajaan persekutuan. Tetapi isu berkenaan tanah, serta sumber tanah dan mineral ada haknya pada negeri. Adakah ini tidak dibuat? Atau difikirkan perlu oleh Kabinet?
8.Menteri juga amat kecewa bilamana pengkritik menyatakan negara tergadai. Marah dan amat terkesan beliau nampaknya. Bergegar dewan Parlimen bila beliau kata Kerajaan tidak akan biarkan seinci tanah negara tergadai. Itu red line katanya.
9.Gadai atau tidak gadai bukan secara fizikal sahaja. Penjajahan alaf baru bukan lagi melalui pengambilan tanah secara paksa atau dengan pacak bendera penjajah di tanah orang lain.
10.Zaman sekarang ia melalui ekonomi. Kuasai cara negara lain berniaga. Kuasai undang-undang dan dasar atau polisi negara lain.
11.Mampukah Menteri dan Kabinet beri jaminan bahawa Malaysia tidak akan ikut syarat-syarat Amerika selepas ini? Pastikah bila Amerika kata nadir bumi tidak boleh biar China atau Russia beli atau teroka, atau gas tidak boleh jual beli dengan Iran, Kabinet akan lawan ?
12. Inilah yang pengkrtik tanya. Ini bukan soal politik. Ia soal penukaran drastik cara Malaysia berniaga dan berhubung dagang dengan negara luar.
13. Dari negara yang bebas berniaga kini mesti periksa dulu samada Uncle Sam benarkan atau tidak.
14.Kalau Uncle Sam kata lompat, kita tanya berapa tinggi mahu lompat? Itulah penjajahan alaf baru.
15. Dari sebuah negara yang gah berdiri sama tinggi duduk sama rendah ke negara menikus.
16.Dari Harimau Asia ke kucing belaan Amerika.
17.Oleh kerana Kabinet telah lulus secara dasar, maka ambillah tanggungjawab secara bersama.
18.Letak jawatan secara jemaah.
Rafique Rashid
29.10.2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.