Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) bukanlah “bailout” tetapi pinjaman yang perlu dibayar semula. Namun, analisis berdasarkan data dan fakta menunjukkan bahawa tindakan ini masih boleh dikategorikan sebagai bailout kerajaan. Ironinya, bukankah Perdana Menteri sendiri pernah mencadangkan supaya audit forensik dilakukan terhadap Sapura Energy ketika debat dengan Datuk Seri Najib Razak? Kenapa tidak laksanakan sekarang? Kenapa tiba-tiba RM1.1 bilion boleh disalurkan tanpa ketelusan penuh kepada rakyat?
Kita tidak mempunyai halangan sekiranya langkah ini benar-benar diperlukan untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan strategik kepada industri minyak dan gas negara. Namun, apa yang dipersoalkan adalah bagaimana Anwar Ibrahim yang dahulunya begitu lantang mengkritik kerajaan atas tindakan menyelamatkan Sapura Energy, kini melakukan perkara yang sama, malah dalam bentuk yang lebih besar? Bukankah dulu beliau berdegar-degar menjanjikan pelbagai formula yang lebih baik, lebih telus, dan kononnya tidak membebankan kerajaan? Jadi, apa yang berubah sekarang? Adakah ini satu lagi bukti bahawa beliau benar-benar lidah bercabang?
Walaupun kerajaan mendakwa dana ini digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor tempatan dan menyokong 59,000 pekerja industri minyak dan gas, ia tidak menafikan hakikat bahawa suntikan modal ini datang daripada entiti berkaitan kerajaan bagi menyelamatkan syarikat bermasalah. Sapura Energy telah lama mengalami tekanan kewangan yang serius dengan hutang mencecah lebih RM10 bilion. Tanpa campur tangan kerajaan, syarikat ini berpotensi gagal membayar pembekal dan pekerja. Persoalannya, mengapa hanya SEB menerima pelaburan ini, sedangkan banyak syarikat perkhidmatan minyak dan gas lain juga menghadapi kesukaran? Apakah mekanisme lain seperti penstrukturan semula hutang telah dipertimbangkan sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk campur tangan?
Kerajaan juga menyatakan bahawa suntikan dana ini bukanlah dana hangus kerana ia berbentuk pinjaman yang boleh dibayar balik. Namun, realiti kewangan SEB membangkitkan persoalan besar tentang kebolehan syarikat untuk menunaikan janji pembayaran semula. Jika pelaburan ini benar-benar menguntungkan, mengapa pelabur swasta tidak berminat? Tiada minat daripada pelabur swasta menunjukkan tahap risiko yang sangat tinggi, tetapi kerajaan masih memilih untuk menanggung risiko tersebut menggunakan dana awam. PNB sebelum ini telah melabur RM2.68 bilion dalam SEB sejak 2018, menjadikannya pemegang saham terbesar dengan pegangan 44.13%. Dengan suntikan dana terbaru, risiko kehilangan dana meningkat dan boleh memberi kesan langsung kepada pemegang unit amanah rakyat Malaysia.
Perbandingan dengan negara lain seperti Singapura dan Korea Selatan dalam kes Sembcorp dan Daewoo Shipbuilding juga tidak tepat. Kedua-dua syarikat ini masih mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan menerima sokongan daripada sektor swasta, tidak seperti SEB yang bergelut dengan hutang besar dan ketidakmampuan untuk pulih secara organik. Jika kerajaan benar-benar yakin dengan kebolehupayaan SEB, mengapa tiada audit forensik dilakukan bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan syarikat sebelum sebarang suntikan dana dilaksanakan?
Walaupun kerajaan mendakwa bahawa SEB telah melalui proses semakan oleh pakar bebas, ia tidak mengubah fakta bahawa kerajaan masih mengambil risiko besar dengan menyuntik dana ke dalam syarikat ini. Jika SEB benar-benar berdaya saing, syarikat ini seharusnya mampu menarik pelaburan swasta tanpa perlu campur tangan kerajaan. Hakikat bahawa kerajaan perlu masuk campur membuktikan kelemahan daya saing syarikat ini. Kerajaan juga mendakwa bahawa pelaburan ini boleh dibayar balik menerusi opsyen penukaran saham, namun ini hanya berlaku jika harga saham SEB meningkat. Jika harga saham jatuh atau syarikat terus mengalami kerugian, kerajaan berisiko kehilangan pelaburan ini sepenuhnya. Dengan ketidakstabilan pasaran minyak dan gas serta rekod kewangan SEB yang lemah, kebarangkalian untuk kerajaan mengalami kerugian besar sangat tinggi.
Ironinya, kerajaan begitu yakin memberikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy, tetapi audit forensik yang dahulu dicadangkan oleh Anwar Ibrahim sendiri langsung tidak dijalankan. Adakah kerajaan telah membuat kesimpulan bahawa Sapura Energy benar-benar bersih tanpa perlu sebarang siasatan terperinci? Jika benar begitu, di mana ketelusan yang sering dilaungkan? Jika pelaburan ini bukan bailout, mengapa rakyat masih perlu menanggung risiko ini?
Hakikatnya, tiada apapun yang direformasikan. Sekadar tukar nama, tukar penjawat, selebihnya tetap sama bahkan lebih teruk. Salam Ramadhan.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.