‘NFA’ kes serangan asid Faisal Halim, titik hitam dalam sejarah sukan negara!

May 8, 2025 · Politik · Sumber:

Pemuda PAS melahirkan rasa kecewa yang amat mendalam terhadap keputusan terbaru mengklasifikasikan siasatan kes serangan simbahan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sebagai No Further Action (NFA). Sesungguhnya ini adalah suatu titik hitam dalam sejarah sukan negara!

Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia, bahkan memberi gambaran yang sangat membimbangkan terhadap tahap keselamatan awam serta kebertanggungjawaban pihak berkuasa dalam menangani jenayah berat yang berlaku secara terang-terangan. Apakah benar Malaysia sebuah negara hukum jika tiada pembelaan dan keadilan kepada rakyat dalam kes seperti ini?

Kes ini telah menggemparkan negara dan melibatkan kecederaan serius ke atas mangsa yang menjadi inspirasi ramai anak muda Malaysia. Maka, adalah sangat tidak wajar jika kes sebesar ini ditutup tanpa sebarang pendakwaan atau penjelasan yang munasabah kepada umum.

Pemuda PAS menggesa agar:

1. Menuntut kerajaan memberikan penjelasan tentang perkara ini di Parlimen. Kes ini bukan soal Faisal Halim semata, tetapi adalah soal keselamatan seluruh atlet-atlet kita, yang merupakan tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Dalam Negeri.

2. Pihak berkuasa mesti bertindak menurut neraca keadilan. Adalah menjadi tanggungjawab negara memberi jaminan keselamatan kepada rakyatnya, tanpa mengira siapa dan apakah latar belakangnya.

3. Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara (AGC) mesti membentangkan kepada rakyat mengenai asas kepada keputusan NFA yang dikeluarkan. PDRM dan AGC perlu tampil memberikan penjelasan terbuka untuk mengelakkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhakis terhadap pihak berkuasa.

Pemuda PAS berharap pihak berautoriti dapat melaksanakan tuntutan berikut dalam kadar segera dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan jika kerajaan tidak memandang serius perkara ini. Jangan sampai rakyat mengalami defisit kepercayaan kepada pihak berkuasa, hanya kerana kegagalan dan sikap sambil lewa kerajaan dalam menjamin dan memastikan keselamatan warganya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Bin Dato’ Taib Azamudden

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Peguam Negara perlu campur tangan isu perdana menteri memohon kekebalan di mahkamah
May 29, 2025· Politik
Kedaulatan undang-undang: Tiada siapa yang kebal
May 29, 2025· Politik
Hentikan kerakusan pembangunan campuran Sekyen 24 Shah Alam, jangan ulangi tragedi Sri Muda
May 10, 2025· Politik
Pentadbiran PN perlu berubah – respon Pemuda PAS terhadap pandangan DS Tuan Ibrahim Tuan Man
May 5, 2025· Politik