Saya telah membaca kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi berhubung kenyataan saya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini.
Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan saya mempunyai asas yang kukuh. Hal ini kerana laman Facebook rasmi Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh telah mengeluarkan kenyataan hasil pertemuan antara TYT Prof. Dr. Muhammad Yunus, Ketua Penasihat Bangladesh dengan YB Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.
Dalam kenyataan itu, dinyatakan bahawa Malaysia telah bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan pelaksanaan Graduate Pass bagi pelajar Bangladesh. Maka, adalah wajar saya bangkitkan isu ini bagi mendapatkan penjelasan rasmi daripada pihak kementerian kerana ia menyentuh kepentingan rakyat Malaysia.
Persoalan yang saya bangkitkan mudah, mengapa berita mengenai Graduate Pass ini tidak mendapat liputan di media Malaysia, sedangkan ia dilaporkan secara meluas oleh media arus perdana di Bangladesh termasuk pejabat Chief Adviser Goverment of Bangladesh (GOB)?
Apakah YB Menteri ingin mengatakan kerajaan Bangladesh sanggup berbohong kepada rakyatnya tentang hal sebesar ini? Jika benar mereka berbohong, maka adalah wajar kerajaan Malaysia mengarahkan mereka membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia dan sekaligus mengarahkan mereka menurunkan posting berkaitan perkara ini di laman rasmi Chief Adviser GOB tersebut dan turut dikongsikan oleh Kedutaan Bangladesh di Malaysia.
Adalah jelas dalam ucapan saya, saya tidak pernah menyebut bahawa wujudnya sebarang MoU atau perjanjian yang telah ditandatangani. Maka, YB Menteri seharusnya lebih berhati-hati sebelum melemparkan tuduhan terhadap saya. Tuduhan sebegini bukan sahaja tidak berasas, malah amat tidak bertanggungjawab apabila keluar daripada mulut seorang Menteri Pendidikan Tinggi.
Saya menuntut YB Menteri Pendidikan Tinggi memohon maaf secara terbuka kepada saya kerana menuduh saya sebagai seorang yang tidak bercakap menggunakan fakta yang benar, tepat dan sahih malah menggambarkan kenyataan saya itu bersifat semborono.
Tindakan gopoh YB Menteri dalam hal ini boleh menjatuhkan nama baik KPT yang bertanggungjawab melahirkan modal insan kelas pertama negara di samping memimpin ribuan cendikiawan negara. Adalah menjadi tanggungjawab YB Menteri untuk menunjuk contoh yang baik dengan bercakap benar dan teliti sebelum melempar tuduhan. Kata-kata YB Menteri boleh memburukkan imej KPT khasnya dan negara Malaysia amnya.
Saya ingin mengingatkan bahawa setiap tahun lebih 300,000 graduan tempatan dilahirkan oleh universiti awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti. Namun, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga Jun 2025 sekitar terdapat 518,700 graduan yang masih menganggur. Manakala sekitar 1.9 juta graduan pula berkerja di bawah kelulusan sebenar iaitu ijazah.
Dalam keadaan ini, sebarang berita mengenai kemasukan pekerja asing berkemahiran atau membuka peluang pekerjaan kepada warga asing pastinya menimbulkan kebimbangan yang berasas dalam kalangan rakyat.
Tambahan pula, angka yang disebut iaitu sekitar 10,000 mahasiswa Bangladesh yang sedang menuntut di Malaysia bukanlah angka kecil. Ia cukup signifikan dan berpotensi memberi kesan buruk kepada pasaran kerja negara sekiranya benar mereka akan diberi ruang bekerja secara besar-besaran iaitu selepas tamat pengajian. Dalam hal ini, jangan sampai pepatah Melayu “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan” menjadi kenyataan.
Sebagai seorang ahli akademik, saya sentiasa menjunjung tinggi nilai keilmuan, integriti sumber dan ketelusan fakta. Justeru, saya berhak untuk meminta penjelasan rasmi supaya rakyat Malaysia tidak dibiarkan terkeliru dengan laporan antarabangsa yang jelas memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap dasar negara kita.
Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menegur, menzahirkan kebimbangan dan memastikan suara dan kepentingan rakyat terus diangkat. Saya langsung tidak memandang isu ini sebagai modal politik tetapi atas kesedaran dan tanggungjawab terhadap masa depan graduan kita dan kelangsungan pasaran kerja anak Malaysia.
Saya sayangkan anak bangsa kita. Mana mungkin saya berdiam diri apabila melihat ada cubaan yang menjurus ke arah penafian hak mereka dalam mengisi peluang pekerjaan di negaranya sendiri.
Haim Hilman Abdullah
23 Ogos 2025 | 9.50 PM
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.