Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Gerakan Rakyat Menentang URA yang terdiri dari pertubuhan NGO dan masyarakat sivil, persatuan penduduk mahupun orang ramai atas tindakan mereka sehingga Kerajaan Madani terpaksa menangguhkan pada separuh jalan Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (PSB) di Dewan Rakyat pada 28 Ogos 2025.
Keputusan ini membuktikan bahawa suara rakyat, termasuk bantahan serius yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen PN, telah membawa kesan serta diberi perhatian sewajarnya.
PN berpandangan bahawa RUU tersebut dalam bentuk asalnya tidak mengambil kira kepentingan sewajarnya pemilik asal hartanah, khususnya masyarakat Melayu yang telah sekian lama menetap dan membina kehidupan di kawasan bandar. Cadangan ambang persetujuan yang rendah serta kaedah pelaksanaan yang kabur menimbulkan risiko besar terhadap hak pemilikan, kestabilan komuniti setempat, dan kesinambungan demografi bandar.
PN secara konsisten menegaskan beberapa perkara utama yang perlu diberikan perhatian terutamanya oleh Kerajaan Persekutuan antaranya:
1. Hak Pemilik Asal Mesti Dilindungi – Sebarang usaha pembaharuan bandar tidak boleh menjejaskan pemilik sedia ada yang menjadi tulang belakang komuniti tempatan, terutamanya orang Melayu yang semakin
terhimpit oleh tekanan pembangunan dan kos sara hidup.
2. Keseimbangan Pembangunan – Pembangunan semula tidak boleh dilihat hanya dari sudut komersial semata-mata. Ia mesti diselaraskan dengan prinsip keadilan sosial, kelestarian budaya dan kesejahteraan rakyat.
3. Ketelusan dan Rundingan Menyeluruh – Sebelum RUU ini dibawa semula, kerajaan wajib mengadakan sesi libat urus yang telus dengan semua pihak berkepentingan terutama pemilik hartanah, selain dari persatuan penduduk, ahli profesional serta pimpinan masyarakat termasuk wakil rakyat.
4. Jaminan Komposisi Demografi – PN menolak sebarang dasar yang boleh mengubah wajah masyarakat bandar secara drastik sehingga menghakis kehadiran serta hak masyarakat Melayu dan Bumiputera di bandar-bandar utama.
PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang bagi memastikan kerajaan tidak menggunakan alasan “pembangunan” untuk mengorbankan kepentingan rakyat dan menjejaskan hak pemilikan tanah serta kediaman generasi asal bandar.
PN juga menegaskan bahawa pembangunan semula bandar hanya boleh dilaksanakan sekiranya ia adil, telus dan menjaga kepentingan semua pihak, bukannya mengutamakan keuntungan segelintir pihak berkepentingan semata-mata.
Justeru PN akan terus memantau perkembangan ini dan bersedia mengemukakan cadangan yang lebih baik demi memastikan dasar pembangunan bandar di Malaysia benar-benar berpaksikan rakyat.
TAKIYUDDIN HASSAN
Ketua Whip Ahli Parlimen PN
Tarikh: 28 Ogos 202
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.