PN cabar pembatalan pendaftaran RoS di Mahkamah pada 22 Oktober

October 20, 2026 · Politik

Perikatan Nasional (PN) akan mencabar tindakan pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) melalui proses undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.

Peguam, Rafique Rashid, berkata PN telah memperoleh kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman terhadap ROS dan Menteri Dalam Negeri berhubung notis penggantungan aktiviti gabungan itu sebelum ini.

Beliau menyifatkan tindakan pembatalan pendaftaran PN sebagai sesuatu yang telah dijangkakan, namun mempersoalkan kewajaran keputusan berkenaan yang didakwanya seolah-olah mempunyai unsur mala fide, iaitu niat jahat.

“Kita akan lawan di mahkamah. Kita akan berada di mahkamah pada 22 haribulan,” katanya ketika bercakap kepada media.

Rafique turut mengingatkan bahawa tindakan kerajaan pada 2018 yang menurutnya mempunyai persamaan dengan situasi semasa pernah mencetuskan kemarahan rakyat dan dianggap sebagai salah guna kuasa.

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan ketika ini yang, katanya, membawa imej demokrasi dan tatakelola baik tetapi didakwa mengulangi perbuatan sama.

Sehubungan itu, Rafique menyeru rakyat supaya menyatakan pendirian terhadap kerajaan melalui peti undi, termasuk dalam pilihan raya di Melaka, Sarawak dan kawasan lain di seluruh negara.

Dalam perkembangan berasingan, Rafique memaklumkan pengurusan kes saman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlangsung pada 4 Disember 2026 di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menurutnya, beliau telah memohon mahkamah memberikan ruang masa kepada bekas Perdana Menteri itu untuk mempertimbangkan langkah seterusnya dalam kes berkenaan.

Rafique menjelaskan bahawa tarikh 21, 22 dan 29 yang tersebar di media sosial berkaitan kes tersebut merujuk kepada tarikh pada tahun lalu, manakala pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 4 Disember 2026.

Berita berkaitan
PRN Melaka: UMNO sahkan PN rakan strategik BN
October 29, 2026· Politik
PN guna logo sendiri dalam PRN Melaka, calon umum 29 Oktober
October 26, 2026· Politik
PN mulakan prosiding tatatertib terhadap Bersatu, beri tempoh jawab pertuduhan
October 26, 2026· Politik
PAS boleh guna logo bulan jika tidak dapat guna logo PN
October 21, 2026· Politik