Tiga hari telah berlalu sejak tragedi kebakaran besar di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights yang dikaitkan dengan letupan paip gas bawah tanah, dan kini rakyat seluruh negara sedang menunggu—bukan sekadar laporan teknikal, tetapi satu jawapan jujur dan bertanggungjawab ; siapa yang cuai, siapa yang gagal, dan adakah nyawa rakyat boleh dijadikan taruhan oleh sistem yang lambat bertindak?
Ia satu mimpi ngeri kepada rakyat. Ia bukan satu prank April Fool. Lebih dahsyat dari kejadian banjir besar di Pantai Timur yang mana mangsanya tahu bila masa untuk kembali membersihkan kediaman masing-masing. Kali ini di Putra Heights, mangsa tiada kediaman untuk dibersihkan lagi!
Menurut kenyataan rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, laporan awal siasatan teknikal dijangka disiapkan dalam tempoh 72 jam. Tempoh ini bakal berakhir esok. Namun dalam era maklumat pantas dan kepekaan tinggi terhadap isu keselamatan awam, tempoh itu terasa terlalu lama bagi penduduk yang sudah lama menghidu gas dan menghidu pengabaian dari pihak berwajib.
Berdasarkan maklumat penduduk tempatan, bau gas dan tanda-tanda kebocoran telah dikesan seawal Disember 2024. Beberapa laporan rasmi dan tidak rasmi telah dihantar kepada pihak syarikat pemilik saluran gas serta pihak berkuasa tempatan, namun tiada tindakan konkrit diambil. Rata-rata penduduk mendakwa bahawa tindakan yang diterima hanyalah bersifat ‘kita akan pantau’ dan ‘tiada ancaman buat masa ini’ —frasa yang kini menjadi racun kepada kepercayaan rakyat.
Ini bukan sekadar kelewatan. Ini adalah ‘pengabaian terhadap amaran awal’ yang sepatutnya menjadi protokol asas dalam pengurusan utiliti gas. Malah dalam mana-mana industri yang mengurus bahan mudah terbakar seperti gas asli termampat (CNG), prosedur keselamatan tidak boleh bersifat reaktif—ianya perlu bersifat preventif dan berlapis-lapis (multi-tier safety response system).
Insiden letupan dan kebakaran seumpama ini selalunya dikaitkan dengan:
1. Kebocoran paip bawah tanah akibat hakisan, tekanan tinggi, atau material usang
2. Kegagalan sistem pengesanan kebocoran automatik (gas leak detectors)
3. Tiada audit keselamatan bebas (independent third-party audit) dalam tempoh tertentu
4. Pengendalian atau penyambungan tidak mengikut spesifikasi oleh kontraktor tidak bertauliah
Menurut Peraturan Bekalan Gas 1997 (Gas Supply Regulations) di bawah Suruhanjaya Tenaga, setiap saluran paip gas industri mestilah menjalani :
1. Pengujian tekanan paip secara berkala (pressure testing)
2. Pemeriksaan ultrasonik atau visual untuk pengesanan retakan mikro
3. Pemasangan injap tutup automatik (automatic shut-off valves) bagi zon risiko tinggi
4. Laporan keselamatan tahunan dan pematuhan penuh terhadap Garis Panduan Teknikal
Jika salah satu komponen ini gagal dilakukan atau sengaja tidak dipatuhi, ia merupakan pelanggaran serius terhadap peraturan keselamatan industri tenaga negara.
Justeru, jika laporan awal nanti menunjukkan punca berpunca daripada kelalaian sistemik—sama ada dari pihak pengurusan paip, kontraktor pelaksana, atau badan pengawas—maka tindakan undang-undang yang tegas dan terbuka perlu dikenakan.
Apa yang berlaku di Putra Heights bukan hanya tentang sebuah paip bocor dan terbakar. Ia adalah manifestasi kegagalan mendengar suara rakyat di peringkat awal. Penduduk sudah memainkan peranan mereka—membuat aduan, memberi amaran, dan memaklumkan potensi bahaya. Tetapi bila sistem tidak memberi respons, maka ia bukan lagi sekadar isu teknikal—ia adalah pengkhianatan terhadap amanah keselamatan awam.
Hari ini, seluruh negara menunggu laporan itu bukan semata-mata untuk mengetahui berapa panjang paip yang terbakar, atau berapa suhu api ketika ia meletup. Mereka mahu tahu:
Adakah sistem pemantauan berfungsi? Siapa yang patut bertindak awal? Siapa yang mengabaikan isyarat bahaya? Dan siapa yang seharusnya bertanggungjawab di hadapan rakyat?
Jika kerajaan negeri atau Suruhanjaya Tenaga mahu merawat kepercayaan rakyat yang luka parah, maka:
1. Laporan awal mestilah diumumkan secara telus dan boleh diakses umum
2. Pihak bertanggungjawab mesti dinamakan dan diambil tindakan disiplin atau perundangan
3. Audit menyeluruh terhadap semua saluran paip gas di kawasan penempatan perlu dimulakan serta-merta
4. Sistem aduan penduduk perlu diperkasa dan dijadikan indikator awal dalam sebarang pelan mitigasi risiko
Satu lagi persoalan yang membangkitkan kegelisahan orang ramai ialah berhubung kerja-kerja pembinaan dan pembangunan infrastruktur yang sedang giat dijalankan berhampiran lokasi paip gas yang meletup itu. Menurut maklumat yang tular di media sosial, terdapat beberapa aktiviti pembangunan melibatkan kerja tanah dan infrastruktur utiliti yang berlangsung hanya beberapa meter dari laluan paip gas tersebut.
Persoalannya — adakah kerja-kerja itu dijalankan dengan pematuhan penuh kepada pelan utiliti bawah tanah yang telah diluluskan? Dalam bidang kejuruteraan utiliti, Utility Detection Survey (UDS) dan Utility Mapping with Ground Penetrating Radar (GPR) adalah keperluan asas sebelum kerja pengorekan (excavation) dijalankan di kawasan yang berpotensi mengandungi saluran gas atau kabel voltan tinggi.
Jika pihak kontraktor pembinaan gagal melakukan verifikasi ini secara menyeluruh, risiko ‘third-party interference’ atau gangguan pihak ketiga kepada struktur paip gas akan meningkat — dan ini merupakan salah satu punca utama kebocoran atau kegagalan saluran paip dalam kes-kes global sebelum ini. Maka rakyat berhak bertanya:
Adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air dan Tenaga (SPAN/ST) telah mengesahkan kelulusan penuh pelan pembinaan dan pelan pengurusan risiko sebelum membenarkan projek-projek tersebut berjalan?
Jika tiada Pre-Construction Risk Assessment (PCRA) yang dijalankan untuk kawasan berisiko tinggi yang menempatkan paip tekanan tinggi, maka ia adalah satu pengabaian profesional yang besar.
Satu lagi tanda tanya yang semakin lantang ialah tindakan beberapa agensi dan syarikat utiliti yang mula mengeluarkan kenyataan awal, seolah-olah mahu membersihkan diri dari sebarang tanggungjawab. Ada yang menyatakan “kami tidak terlibat secara langsung”, ada yang menyebut “kami serahkan siasatan kepada pihak berkuasa”, dan ada pula yang mengulang skrip lama: “semua ikut prosedur”.
Tindakan sebegini menimbulkan lebih banyak curiga berbanding keyakinan. Jika semuanya telah ikut prosedur, mengapa paip gas tekanan tinggi boleh terbakar sebegitu dahsyat? Mengapa aduan penduduk dibiarkan? Dan mengapa kawasan perumahan masih wujud berhampiran dengan sistem utiliti berisiko tinggi tanpa mitigasi keselamatan aktif seperti ‘gas detector beacon’ dan sistem notifikasi komuniti automatik?
Pakar dalam bidang keselamatan industri menyifatkan pendekatan ini sebagai sindrom “institutional deflection” — apabila organisasi lebih sibuk melindungi reputasi berbanding menyiasat akar masalah. Lebih parah, terdapat dakwaan bahawa laporan teknikal awal sedang melalui proses “penapisan” sebelum diumumkan — seolah-olah ada yang mahu disorokkan daripada rakyat.
Kepada YAB Menteri Besar Selangor, rakyat sedang tunggu jawapan ini. Saya yakin tempoh 72 jam yang dijanjikan itu bukan ‘pandai-pandai’ Menteri Besar untuk tetapkan, ia tentunya dari agensi-agensi berwajib yang berkaitan. Jadi, petunjuk awal tentu sudah diperolehi menjelang esok.
Ya, ia bukan semudah menerbitkan video klip Balik Kampung Siapa Dulu, tetapi ia boleh dibuat jika benar-benar jujur!
Ahmad Fadhli Shaari,
3 April 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.