Rejuvenasi Perikatan Nasional

December 31, 2025 · Politik · Sumber:

Episod Perlis telah berlalu. Ia meninggalkan luka dan kekecewaan yang bukan mudah untuk ditelan. Namun dalam perjuangan, ujian adalah suatu kepastian. Yang membezakan antara mereka yang layak memimpin dan yang gugur di tengah jalan ialah keupayaan untuk bangkit selepas diuji.

Hakikatnya, episod ini tidak boleh menjadi noktah kepada perjuangan kita untuk membebaskan rakyat daripada kegagalan Kerajaan Madani. Sebaliknya, ia mesti dijadikan titik muhasabah dan pemangkin kepada pengukuhan saf perjuangan.

PAS telah mengambil langkah yang wajar dengan mengeluarkan kenyataan media yang jelas, menggariskan pendirian parti serta hala tuju jentera di Perlis.

Pimpinan pusat juga telah menyampaikan arahan yang terang dan tuntas. Maka isu ini telah ditutup secara organisasi. Khalas.

Adapun pahat yang terus berbunyi selepas rumah siap, biarlah ia berlalu tanpa perlu dilayan, tak kisah lah siapa pun dia.

Apa yang lebih penting sekarang ialah masa untuk bekerja.

Rakyat sedang memerhati.

Rakyat sedang terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat, ketidaktentuan ekonomi, kelemahan tadbir urus serta krisis keyakinan terhadap institusi negara.

Dalam suasana ini, harapan rakyat terhadap Perikatan Nasional sebagai alternatif kerajaan tidak pernah padam. Harapan ini tidak boleh dikhianati dengan perbalahan dalaman, kelalaian strategi atau sikap mementingkan diri.

Peletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional perlu dilihat sebagai satu tindakan berprinsip yang wajar dihormati, bukan dijadikan polemik berpanjangan. Begitu juga peletakan jawatan Setiausaha Agung Perikatan Nasional.

Perlembagaan dan struktur organisasi Perikatan Nasional telah menyediakan mekanisme kesinambungan kepimpinan.

Pemangku Pengerusi mempunyai mandat untuk meneruskan agenda.

Timbalan Setiausaha Agung mempunyai kuasa memanggil mesyuarat dan menyusun gerak kerja.

Organisasi Perikatan Nasional tidak lumpuh.

Apa yang diperlukan kini ialah rejuvenasi Perikatan Nasional, yang merangkumi beberapa keutamaan utama:

Pertama, pengukuhan dalaman. Jentera mesti kembali fokus kepada disiplin organisasi, kepatuhan kepada keputusan bersama serta adab dalam berbeza pandangan. Perbezaan strategi dibincangkan dalam bilik mesyuarat, bukan di ruang awam.

Kedua, penyusunan strategi pilihan raya lebih awal.

Tidak lama lagi negara akan berdepan pilihan raya seterusnya. Perikatan Nasional perlu lebih bersedia. Soal calon, naratif, agenda dan mesej mesti diselaraskan dari sekarang, bukan ketika pilihan raya dah dekat.

Ketiga, peneguhan naratif “Turun Anwar, Selamatkan Negara”.

Perikatan Nasional mesti tampil dengan mesej yang jelas dan konsisten, penyelesaian kos sara hidup, kestabilan ekonomi, integriti pentadbiran dan keadilan sosial. Rakyat menuntut solusi, bukan retorik kosong.

Keempat, kepimpinan Perikatan Nasional yang mantap.

Pengganti Pengerusi Perikatan Nasional mestilah seorang pemimpin yang mempunyai halatuju yang jelas, mampu menyatukan semua komponen dalam satu saf perjuangan dan berkeupayaan membawa Perikatan Nasional melangkah ke hadapan sebagai alternatif kerajaan yang diyakini rakyat.

PAS yang telah menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab ini mempunyai senarai individu berkelayakan yang mampu melaksanakan amanah tersebut dengan berkesan.

Apa pun kita perlu faham, perjuangan ini bukan milik individu.

Ia milik rakyat yang menaruh harapan.

Ia milik generasi akan datang yang menuntut masa depan yang lebih terjamin.

Perikatan Nasional mesti melangkah ke hadapan dengan tenang, tersusun dan berprinsip. Episod Perlis biarlah menjadi pengajaran, bukan punca perpecahan.

Rejuvenasi Perikatan Nasional adalah sangat penting, bukan sekadar untuk memulihkan keyakinan dalaman, tetapi untuk memastikan gabungan ini benar-benar bersedia memikul amanah besar rakyat. Ia menuntut kesediaan semua pihak untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan,
mengukuhkan kekuatan dan meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi segala pertimbangan peribadi.

Hanya dengan kesatuan, disiplin organisasi dan kepimpinan yang berhalatuju, Perikatan Nasional mampu tampil sebagai alternatif kerajaan yang stabil, diyakini dan mampu menyelamatkan negara.

Salam hormat,

Ir. Ts. Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat

Berita berkaitan
3 bekas ADUN Perlis cabar keputusan Speaker di mahkamah, boleh ke?
January 3, 2026· Politik
Selepas Tan Sri Muhyiddin, PN perlukan teraju paling stabil
December 30, 2025· Politik
Bila PAS buat keputusan, percayalah semua risiko sudah dikira
December 29, 2025· Blog
PAS adalah parti masa depan Malaysia
December 22, 2025· Politik