Salah guna jentera dan peruntukan kerajaan membarah di PRK Ayer Kuning

April 23, 2025 · Politik · Sumber:

1. Belum pun berlangsungnya proses penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah.

2. Walau pun mendapat bantahan banyak pihak termasuk oleh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan NGO pro PH sendiri iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), namun ia tetap tidak memberi kesan.

3. Malah PMX sendiri mempertahankan perbuatan tersebut dengan menafikan perbuatan itu salah kerana ia, kata PMX, berlaku sebelum proses penamaan calon.

4. Namun hakikat peraturan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya menetapkan bahawa kesalahan-kesalahan itu meliputi sebelum, semasa dan selepas berlangsungnya pilihan raya seperti yang termaktub dalam Seksyen 10A Akta Kesalahan Pilihan Raya.

5. Sekiranya benar sekali pun definisi ‘sebelum pilihan raya’ itu bukan bermaksud sebelum penamaan calon, namun perbuatan itu sendiri sesuatu yang tidak beretika dan memanipulasi situasi dengan satu tindakan yang jelas berniat untuk mempengaruhi keputusan pengundi.

6. Hakikatnya gejala ini telah membudaya sekian lama semenjak zaman pemerintahan BN sebelum PRU14 lagi dan terhenti sewaktu pemerintahan PERIKATAN NASIONAL.

7. Sebab itu semenjak dahulu wujudnya satu frasa bahawa ‘dalam pilihan raya sesebuah parti pembangkang bukan bertanding menentang parti kerajaan tetapi parti pembangkang bertanding menentang kerajaan itu sendiri’.

8. Yang melucukan, parti tunggak kerajaan Madani, PH-DAP yang sekian lama sewaktu duduk di kerusi pembangkang menganggap bahawa perbuatan ini sebagai satu rasuah pilihan raya dan ketidakadilan kepada parti-parti pembangkang, tiba-tiba setelah menjadi kerajaan mereka jadi lebih sudu dari kuah umpama kudung mendapat cincin.

9. Tentangan daripada NGO BERSIH yang sekian lama menjadi sekutu PH-DAP sendiri terhadap sikap mereka setelah menjadi kerajaan memaparkan betapa munafiknya perjuangan mereka selama ini.

10. Itu belum lagi dengan strategi menakut-nakutkan aktivis pembangkang melalui saluran undang-undang dan penguatkuasa kerajaan yang sentiasa mencari salah menunggu-nunggu untuk mengambil tindakan.

11. Terbukti perjuangan PH-DAP yang kononnya mahu mereformasikan sistem dan tadbir urus kerajaan bukan sahaja gagal, malah mereka jadi lebih teruk daripada pemerintahan BN suatu masa dahulu.

12. Namun, dengan segala sekatan dan tekanan yang diberikan kepada pembangkang akan menjadi peristiwa paling memalukan apabila rakyat menolak mereka dalam PRK ini walau pun segala tindakan tidak beretika telah mereka lakukan di dalam pilihan raya.

13. Rakyat sudah bijak dan tidak mudah digula-gulakan atau ditakut-takutkan demi untuk membuatkan mereka terpaksa mengundi parti kerajaan.

Ketua Penerangan PAS Melaka, Ahmad Bilal bin Rahudin

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Isu ladang babi: Masa jadi kerajaan apa Perikatan Nasional-PAS buat?
April 18, 2025· Politik