Tarik balik subsidi gas: Rompakan terbaru Kerajaan Madani

May 29, 2025 · Politik · Sumber:

Tindakan tidak berperikemanusiaan kerajaan menarik balik subsidi gas memasak daripada golongan peniaga kecil dan sederhana bermula 1 Mei 2025 adalah satu bentuk rompakan sah terhadap rakyat oleh Kerajaan Madani.

Langkah mewajibkan penggunaan tong gas komersial 14kg berwarna ungu berharga RM70 menggantikan tong subsidi isi rumah berharga RM26.60 adalah satu bentuk penindasan terang-terangan ke atas pengusaha kecil. Ini kenaikan lebih 160% — satu angka luar biasa yang boleh menghancurkan daya saing perniagaan kecil di Malaysia.

Dengan hanya tiga tong sehari, kos operasi bulanan boleh melonjak lebih RM1,300. Ini bukan rekaan — ini adalah realiti matematik:

3 tong sehari x RM70 x 30 hari = RM6,300 sebulan

Bandingkan dengan sebelum ini: 3 tong sehari x RM26.60 x 30 hari = RM2,394 sebulan

Kenaikan: RM3,906 sebulan hanya untuk gas!

Apa yang lebih mengaibkan, kerajaan langsung tidak menyediakan pelan mitigasi atau peralihan. Sebaliknya, peniaga kecil disuruh terus mematuhi dasar baharu ini dalam suasana penuh tekanan, tanpa perincian yang jelas dan tanpa ruang perbincangan.

Adakah ini definisi Madani? Menindas penjaja kecil di lorong-lorong belakang sementara kroni terus bergelumang dalam projek-projek mega?

Kesan daripada langkah zalim ini:

1. Harga makanan pasti naik. Nasi ayam RM9 mungkin jadi RM11. Kuih-muih naik 30 sen ke RM1.50
2. Pelanggan makin tertekan. Kuasa beli rakyat akan menjunam, orang makin kurang makan luar
3. Peniaga mikro dan B40 bakal terkubur. Mereka tidak mampu menampung lonjakan kos sedemikian rupa
4. Industri F\&B akan lumpuh. Katering, food truck, pengusaha dobi, semua akan terkena impak
5. Inflasi makanan akan melonjak. Harga siling makanan harian rakyat akan pecah, tetapi kerajaan tetap berdalih kononnya rakyat biasa tidak terkesan

Kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik alasan “ini hanya untuk peniaga”. Bila peniaga menanggung kos tambahan RM4,000 sebulan, adakah mereka akan kekal jual makanan dengan harga sama? Tidak! Beban itu akan kembali ke pinggan rakyat.

Tuntutan kepada kerajaan:
1. Menarik balik serta-merta penarikan subsidi ini
2. Menghentikan tekanan ke atas peniaga kecil dan menghormati mereka sebagai tulang belakang ekonomi
3. Membentangkan pelan subsidi bersasar yang telus, adil dan boleh dilaksanakan
4. Memberikan tempoh transisi minimum 12 bulan sebelum sebarang pelaksanaan drastik

Sekiranya kerajaan terus bongkak dan pekak terhadap suara rakyat marhaen, maka rakyat berhak menolak kerajaan ini dalam pilihan raya akan datang. Reformasi yang dilaung-laungkan telah bertukar menjadi reformoney – memperkaya kroni, memiskinkan rakyat.

Ini bukan pentadbiran. Ini rompakan gaya moden. Lebih tepat lagi ROMPAKAN MADANI.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Mei 2025

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Perluasan cukai SST: Ikan rakyat bakal jadi ikan elit
June 20, 2025· Politik
Peluasan skop SST
June 17, 2025· Politik
Tarik balik permohonan imuniti!
May 31, 2025· Politik
Peguam Negara perlu campur tangan isu perdana menteri memohon kekebalan di mahkamah
May 29, 2025· Politik