Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh memulakan siasatan tanpa menunggu aduan rasmi adalah sesuatu yang benar, tetapi dalam kes bekas pegawainya yang dikatakan menyalahgunakan dana yang diperuntukkan kepada ahli parlimen, beliau sepatutnya tampil sendiri membuat laporan kepada SPRM.
Di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), mana-mana individu yang mengetahui tentang perlakuan rasuah mempunyai kewajipan untuk melaporkan perkara tersebut kepada SPRM. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan di bawah peruntukan yang sama. Maka, kenyataan Teresa Kok bahawa SPRM boleh bertindak tanpa aduan rasmi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab asas sebagai seorang wakil rakyat yang berintegriti.
Jika seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman seperti Teresa Kok sendiri boleh diperdaya – mengikut dakwaan beliau sendiri – oleh pegawainya sehingga berlaku penyelewengan dana, apakah jaminan bahawa Ahli Parlimen lain juga tidak mengalami situasi yang sama? Oleh itu, satu audit forensik (sekurang-kurangnya audit forensik versi kerajaan dalam kes Sapura Energy) yang menyeluruh perlu dijalankan terhadap peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.
Berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Satuk Seri Zaleha Mustafa pada 13 Februari 2024, setiap Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM1.7 juta setahun bagi tempoh 2023 hingga 2024. Ini merupakan jumlah yang besar dan memerlukan ketelusan dalam pengurusannya. Kerajaan perlu memastikan bahawa tiada sebarang ketirisan berlaku, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini.
Alangkah janggalnya apabila Ahli Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan dengan alasan kononnya mereka mungkin menyalahgunakan dana, sedangkan dalam kes ini, yang terbukti didakwa berlaku penyelewengan adalah dalam pengagihan peruntukan Ahli Parlimen kerajaan sendiri. Tindakan kerajaan yang memilih kasih dalam soal peruntukan ini semakin menunjukkan ketidaktelusan dan kejanggalan dalam dasar mereka. Rakyat berhak mengetahui ke mana wang mereka disalurkan dan kerajaan mesti bertanggungjawab memastikan setiap sen digunakan dengan betul.
Alangkah ruginya jika peruntukan ini tiba-tiba disalahguna seperti dalam kes Teresa Kok, bayangkan berapakah penjimatan yang boleh dilakukan oleh kerajaan dan ia boleh dibelanjakan pula untuk bail-out mana-mana syarikat strategik yang didapati rugi.
Kes ini perlu dijadikan iktibar agar langkah-langkah kawalan yang lebih ketat diambil dan tidak hanya bergantung kepada tindakan reaktif selepas penyelewengan berlaku. Jika benar kerajaan mengutamakan ketelusan dan integriti, audit forensik ke atas peruntukan Ahli Parlimen kerajaan harus menjadi keutamaan sekarang.
Audit forensik ini lebih perlu dilakukan terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang juga memegang jawatan sebagai menteri. Mereka sudah tentu sibuk menguruskan tugasan di kementerian masing-masing dan kerap kali perlu keluar negara untuk mencari pelabur serta menjalankan tugas rasmi kerajaan. Dengan beban tugas yang tinggi, mereka pastinya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memberi tumpuan kepada pengurusan peruntukan yang mereka terima sebagai Ahli Parlimen. Oleh itu, risiko berlaku ketirisan dan salah guna dana lebih tinggi dalam kalangan mereka, menjadikan audit ini satu keperluan mendesak bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan kerajaan.
Salam Ramadhan.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari
14 Mac 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.