1. Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim senyap, tidak bersuara apabila pelbagai pihak terutama rakyat bangkit, protes dan desak beliau letak jawatan kerana gagal mentadbir negara.
2. Tetapi, apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersuara sedikit sahaja dalam Program Himpunan Amanat Negarawan di Stadium Suka Menanti di Alor Setar, Kedah malam tadi, Anwar terus melenting dan membidas tokoh politik itu dengan memutar kaset lama mengaitkan Tun Dr. Mahathir dan keluarga memiliki kekayaan berbilion ringgit.
3. Anwar juga mempersoalkan keikhlasan perjuangan tokoh-tokoh tersebut (yang dimaksudkannya adalah Tun Dr. Mahathir), yang kononnya mahu membela nasib orang Melayu, sedangkan kekayaan yang dikumpul tidak disalurkan kembali kepada rakyat.
4. Sekretariat Orang Melayu (SOM) tergerak untuk menjawab kenyataan Anwar itu yang diucapkan pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus UiTM Permatang Pauh, hari ini.
5. Pertamanya, SOM memandang serius kenyataan PMX yang mempertikai hak Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bersuara dan menyatakan pendirian dalam isu-isu semasa melibatkan kepimpinan dan hala tuju negara.
6. Sebagai seorang negarawan dan warganegara Malaysia, Tun Dr. Mahathir mempunyai hak perlembagaan yang tidak boleh dinafikan untuk bersuara, mengkritik dan memberi pandangan, sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
7. Dalam sebuah negara demokrasi pula, hak untuk menyuarakan kebimbangan terhadap kepimpinan, dasar kerajaan dan prestasi pentadbiran terutama seperti yang berlaku dalam Kerajaan Madani sekarang ini, bukan sahaja dibenarkan, malah didorong sebagai sebahagian daripada semangat semak dan imbang dalam sistem pemerintahan.
8. Namun, sebarang cubaan untuk menutup mulut Tun Dr. Mahathir daripada bersuara dan melabelkan beliau sebagai penghasut hanya kerana menyuarakan pandangan, merupakan satu penindasan terhadap kebebasan bersuara dan satu penghinaan kepada prinsip demokrasi yang kita junjung bersama.
9. Umum tahu, malah dunia pun tahu, Tun Dr. Mahathir telah memainkan peranan penting dalam membentuk wajah negara ini. Penglibatan beliau dalam perbincangan awam hari ini, termasuk memberi perhatian kepada desakan rakyat agar Perdana Menteri sekarang meletakkan jawatan adalah satu hak moral dan politik yang sah, bukan satu bentuk campur tangan yang melanggar undang-undang.
10. Anwar dan Kerajaan Madani amnya seharusnya menghormati hak mana-mana individu, termasuk Tun Dr. Mahathir untuk menyuarakan pandangan.
11. Sebagai tokoh politik dan negarawan yang mempunyai pengalaman luas serta pengaruh yang besar dalam sejarah pembinaan negara, pandangan Tun Dr. Mahathir wajar dihormati dan dinilai secara objektif.
12. Dalam tradisi demokrasi, kritikan terhadap pemerintah bukan suatu jenayah, sebaliknya satu proses semak dan imbang yang sihat bagi menjamin tadbir urus yang lebih telus dan bertanggungjawab.
13. Kami juga ingin menegaskan apa-apa bentuk tekanan, tohmahan atau cubaan membungkam suara Tun Dr. Mahathir adalah satu penafian terhadap prinsip-prinsip asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
14. Sebagai negarawan, pandangan Tun Dr. Mahathir boleh dianggap sebagai “nasihat politik” kepada rakyat, walaupun tidak lagi mengikat mana-mana pihak.
Mengenai tuduhan Tun Dr. Mahathir dan keluarga memiliki kekayaan berjumlah RM4 bilion;
15. Nampaknya, Anwar sudah ketandusan modal untuk membalas setiap kenyataan Tun Dr. Mahathir. Sehingga terpaksa mengulang dan terus mengulang kaset lama dengan mengungkitkan ‘kekayaan’ di miliki Tun Dr. Mahathir serta keluarganya yang berjumlah berbilion-bilion ringgit itu.
16. Sejak Mei tahun lalu lagi, sudah lebih satu tahun, Tun Dr. Mahathir minta Anwar Ibrahim kemukakan dokumen dan bukti keberadaan harta yang didakwa dicuri itu, tetapi sehingga hari ini, Anwar gagal menunjukkan kepada umum.
17. Bahkan, Tun Dr. Mahathir sendiri memberi jaminan, jika Anwar dapat mengemukakan bukti keberadaan wang sebanyak itu, beliau sendiri akan membawa pulang kesemua duit itu untuk didermakan kepada rakyat miskin.
18. Tetapi, Anwar tidak berani. Beliau ada bukti untuk mengaitkan Tun Dr. Mahathir dan keluarganya dengan tuduhan itu. Tetapi dia tetap mencanang kononnya Tun Dr. Mahathir memiliki kekayaan berbilion ringgit.
19. Atas kegagalan mengemukakan bukti, Tun Dr. Mahathir pada Januari lalu, memfailkan saman ke atas Anwar Ibrahim dan Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 13 Ogos ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.
Dato’ Wira Marzuki Yahya
Ketua Setiausaha
Sekretariat Orang Melayu
19 Julai 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.