1. Saya merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri bahawa audit forensik telah dijalankan terhadap Sapura Energy Berhad (SEB) bagi memastikan ketelusan dalam suntikan dana RM1.1 bilion yang diberikan. Kerajaan mendakwa bahawa firma Ernst & Young (E&Y) telah menjalankan audit forensik terhadap SEB sebagai langkah mengenal pasti permasalahan sebenar syarikat sebelum suntikan dana dilakukan.
2. Namun, sehingga kini, laporan audit tersebut masih belum didedahkan kepada umum. Tiada sebarang rekod dalam Bursa Malaysia atau laporan tahunan SEB yang menyebut mengenai audit ini. Jika benar audit telah dilaksanakan, kerajaan tidak mempunyai alasan untuk terus merahsiakannya. Kegagalan mendedahkan laporan ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan termasuk sama ada audit tersebut benar-benar wujud atau sekadar alasan untuk mewajarkan suntikan dana kepada SEB.
3. Kerajaan juga menyatakan bahawa jika audit forensik menemui sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa dalam SEB, siasatan akan diteruskan dan tindakan tegas akan diambil. Namun, tanpa laporan audit yang telus dan terperinci, rakyat tidak dapat menilai sama ada wujud ketirisan, siapa yang bertanggungjawab dan apakah tindakan yang akan diambil.
4. Suntikan RM1.1 bilion ini merupakan jumlah yang sangat besar yang melibatkan dana negara dan perlu diurus dengan penuh akauntabiliti. Pemberian dana sebanyak ini kepada syarikat tersebut tanpa audit yang jelas menimbulkan kebimbangan terhadap jaminan perlindungan wang negara. Ketidaktelusan dalam skandal seperti 1MDB dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum ini telah mengakibatkan kerugian besar kepada negara dan membebankan rakyat membuktikan betapa pentingnya ketelusan dalam pengurusan dana awam bagi mengelakkan sejarah berulang.
5. Justeru, kerajaan perlu mendedahkan laporan audit forensik SEB kepada umum bagi memastikan dana ini digunakan dengan bertanggungjawab serta memberi keyakinan kepada rakyat bahawa tiada unsur salah guna atau ketirisan. Ketelusan adalah kunci kepada kepercayaan rakyat dan kegagalan kerajaan mendedahkan laporan ini hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan dan syak wasangka bahawa suntikan dana ini adalah satu bentuk ‘bailout’ yang tidak berasaskan kepentingan awam.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim
14 Mac 2025
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.